KUALA LUMPUR: Memulihkan keyakinan dan mengembalikan kepercayaan orang Melayu kepada UMNO menjadi agenda utama kepemimpinan parti itu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun kejayaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dianggap manis dan momentum yang penting kepada UMNO, ia bukan penanda aras bagi pemulihan sepenuhnya terhadap parti berkenaan.
“Kejayaan di Nenggiri hanya permulaan kepada perjalanan jauh yang lebih getir dan mencabar. Pengajaran besar dari PRK tersebut adalah sokongan bangsa Melayu itu tidak pegun. Ia dinamik.
“Ia boleh beralih selari dengan kesesuaian calon, strategi dan isu yang ditampilkan. Hakikatnya, orang Melayu belum menunjukkan dengan jelas bahawa mereka telah mula beramai-ramai kembali mendukung UMNO. Kita harus bekerja berlipat kali ganda untuk kemenangan calon UMNO,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, malam ini.
Mohamad berkata, UMNO tidak boleh hidup dalam penafian dan lalai apabila parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan.
“Kita tidak pun berkuasa sepenuhnya. Sebaliknya, kita waktu ini hanya pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan. Janganlah dek kerana kita ada perkongsian kedudukan dalam kerajaan, lalu kita lalai dalam tanggungjawab kita merawat dan memulihkan keyakinan bangsa terhadap UMNO.
“Justeru, usaha memulihkan kepercayaan ini mesti kita giatkan. Pastinya tiada jalan mudah, untuk menawan kembali nurani bangsa Melayu. Ia akan mengambil masa. Namun itulah harga sebuah perjuangan.
“Strategi yang paling penting adalah untuk kita mengembalikan kepercayaan ini dengan mengembalikan kesatuan kita sebagai sebuah parti,” katanya.
Menurut beliau, UMNO dan ahlinya mesti kukuh bersatu dan kekal setia bagi menarik semula keyakinan orang Melayu.
“Keyakinan orang Melayu kepada UMNO, insya-Allah akan berputik apabila kita dilihat sebagai satu ketumbukan politik yang kemas, dalam kerjasama dan persefahaman kita.
“UMNO kini sedang melalui fasa yang tenang. Kita telah berjaya meredakan segala anasir yang ingin memecahbelahkan parti. Kepimpinan UMNO jelas dengan fokusnya dalam kerajaan dan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.
“Oleh yang demikian, kita mesti mengelakkan segala bentuk perseteruan dalam parti. Segala macam kepuakan mesti kita jauh dan hapuskan. Segala hasrat untuk cita-cita peribadi dalam politik mesti kita ketepikan. Ingat, perjuangan politik peribadi tiada tempat dalam UMNO,” katanya. – UTUSAN