UiTM perlu terus berperanan bawa kemajuan kepada Melayu, Bumiputera - Utusan Malaysia

UiTM perlu terus berperanan bawa kemajuan kepada Melayu, Bumiputera

UiTM Melayu Bumiputera
SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan bergambar bersama Fadillah Yusof; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin pada Malam Gala UiTM Sempena Sambutan Jubli Perak UiTM di Dewan Agung Tuanku Canselor di UiTM Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) harus terus memainkan peranan dalam membawa kemajuan kepada orang Melayu bagi memastikan golongan itu tidak lagi perlu bergantung harap pada orang lain di masa hadapan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, UiTM kekal relevan sehingga pada hari ini kerana kewujudan masalah kemunduran dan kemiskinan menyebabkan negara tidak boleh lari daripada realiti orang Melayu dan Bumiputera perlu dibantu dengan pendidikan lebih kedepan.

Menurutnya, ini kerana kebanyakan golongan itu datang daripada kelompok masyarakat tersusah.

“Namun begitu, orang melayu itu tidak boleh sentiasa disuap dengan segala kesenangan sehinggakan mereka terlalu bergantung harap kepada orang lain. Di sinilah peranan penting UiTM untuk membawa kemajuan pendidikan kepada orang Melayu dan Bumiputera sehingga mereka boleh berdiri sendiri dan menjadi pencipta nilai dalam ekonomi masyarakat.

“Dalam keghairahan arus pendidikan dunia mengejar kemajuan dan kemodenan, UiTM berjaya untuk mengekalkan malah memartabatkan citra Bumiputera, dan pemikiran yang lebih mengakar kepada konteks tempatan dan tidak semena-mena menjadi pengagum aliran pendidikan barat semata-mata,” katanya dalam ucapan perasmian Malam Gala UiTM sempena Sambutan Jubli Perak: 25 Tahun UiTM Sebagai Sebuah Universiti, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Tambahnya, sejarah UiTM perlu dimaknai dengan suatu fahaman tentang cabaran permasalahan pendidikan orang Melayu itu sendiri yang mana disifatkan bukan sahaja kemiskinan dari segi harta semata-mata, tetapi pendidikan, hemat dan cita-citanya.

Dalam pada itu, Anwar bagaimanapun mengagumi pencapaian UiTM menerusi kedudukan universiti itu di persada antarabangsa apabila menduduki tangga ke-587 dalam QS World University Rankings 2025, ke-98 dalam QS Asia University Rankings 2024 dan ke-599 dalam QS World University Rankings: Sustainability 2024, ke-151 di Asia dan ke-13 di Malaysia.

“Sungguhpun begitu, kita tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian yang dimiliki. Kemakmuran yang dikecapi pada hari ini bukanlah diperolehi secara nasib dan kebetulan, tetapi melalui usaha gigih semua pihak untuk sama-sama membangunkan negara ini.

“Janganlah kita alpa, janganlah kita lalai dan janganlah kita leka. Hayatilah jiwa merdeka dengan penuh kesungguhan. Perkukuhkan azam dan usaha dalam menerajui kembara akademik demi menjadikan Malaysia sebuah negara yang terangkat martabatnya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, beliau yakin UiTM akan terus menempa nama di persada dunia dengan pelbagai kejayaan, inisiatif dan ikhtiar yang lebih inovatif, sesuai dengan peredaran masa.

Terdahulu, dalam program sama, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro-Canselor UiTM berkenan merasmikan Sambutan Jubli Perak UiTM dan Monumen Hasrat sempena penubuhan UiTM sebagai sebuah universiti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya