Minggu ini merupakan pendaftaran pelajar baharu bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023 ke institusi pengajian tinggi, politeknik dan kolej komuniti seluruh negara turut menerima pelajar baharu di Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS).
Di PSIS, lebih 800 orang pelajar baharu mendaftar sempena Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Sesi I 2024/2025.
Timbalan Pengarah Akademik PSIS, Zainuddin Kasmuri berkata, kemasukan pada sesi ini sangat positif, menunjukan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi pilihan kedua dan semakin diyakini.
“Peningkatan kemasukan sebanyak 20 peratus menunjukan ibu bapa dan pelajar percaya bahawa TVET bukan lagi pilihan kedua berikutan kemahiran dimiliki graduan dalam bidang itu amat diperlukan untuk menyokong kemajuan sektor industri.
“Kini rakyat Malaysia mula melihat peluang pasaran terutama dalam bidang kemahiran tinggi melibatkan teknologi dan vokasional, sekali gus memudahkan pemain industri berkaitan mencari pekerja,” katanya. – UTUSAN