SHAH ALAM: Seorang pekerja pendawaian elektrik warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merasuah pegawai imigresen sebanyak RM5,560 bagi melepaskan rakan senegaranya, tahun lalu.
Dia juga dipercayai menjadi ejen sindiket penyeludupan migran dari negara itu.
Bagaimanapun, tertuduh, Po Cho mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.
Berdasarkan petuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa memberikan rasuah wang tunai berjumlah RM5,650 sebagai upah kepada seorang pegawai Jabatan Imigresen yang bertugas di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Rasuah tersebut sebagai dorongan melepaskan kemasukan sembilan warga Myanmar ke negara ini tanpa melalui prosedur yang ditetapkan dan kesalahan tersebut dilakukan dekat Medan Selera Indah Puteri, di Kampung Baharu Lanjut, Sepang, kira-kira pukul 3.55 petang pada 31 Oktober 2023.
Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 16 (b) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Kemudian, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh adalah warga asing.
“Jaminan akan membantutkan siasatan sindiket yang wujud dan kesalahan ini melibatkan Imigresen serta keselamatan negara. Jadi tidak boleh berkompromi.
“Saya juga memohon perintah larangan agar mana-mana saksi yang terlibat dalam kes ini tidak disiarkan di media sosial, keratan akhbar dan seangkatannya kerana dikhuatiri boleh menganggu siasatan,” katanya..
Bagaimanapun, Peguam Ungku Imran Athari memaklumkan ini adalah kesalahan pertama Pho Cho, 37, yang sudah menetap di negara ini selama 18 tahun.
“Anak guam saya janji tidak melarikan diri dan tiada halangan menyerahkan pasport dan sedia melapor diri. Jadi, mohon budi bicara mahkamah membenarkan anak guam diikat jamin,” jelasnya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM70,000 bersama seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap awal bulan.
Dalam masa sama, Anita turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi mendapatkan perintah larangan mengenai nama-nama saksi dan menetapkan sebutan semula kes pada 30 September depan. – UTUSAN