Tugas berat Syafiq Kyle bawa tragedi ke layar - Utusan Malaysia

Tugas berat Syafiq Kyle bawa tragedi ke layar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“INI antara filem terberat yang saya lakonkan,”

Demikian luahan pelakon, Syafiq Kyle ketika bercerita mengenai pengalamannya membawakan watak komando Polis Diraja Malaysia (PDRM), DSP Zamri, dalam filem Takluk: Lahad Datu.

Mengulas lanjut, jejaka berusia 32 tahun berpendapat karakter itu bukan sahaja menguji ketahanan emosi dan fizikal, malah perlu memikul tanggungjawab untuk menyampaikan tragedi hitam negara yang mengorbankan 10 wira ketika pemberontakan di Lahad Datu pada 2013.

Sebelum dilamar menyertai filem ini, Syafiq mengakui pernah mendengar tragedi ini disampaikan dari mulut ke mulut juga daripada laporan akhbar. Namun begitu, belum ada yang boleh memberi gambaran betapa ngerinya pasukan polis berhadapan dengan pengganas Sulu ketika itu.

“Sebelum ini, saya sendiri banyak kali dengar tentang tragedi ini. Ada yang kata sejak tahun 80-an lagi sudah terjadi. Kita tahu melalui akhbar, internet atau buah mulut orang.
Tapi belum ada yang boleh tunjuk situasi dan gambaran sebenar keadaan itu.

“Saya mahu terlibat dalam filem ini kerana rasa tanggungjawab untuk menyampaikan kisah ini kepada khalayak. Seragam tempur yang saya pakai dalam filem ini adalah versi palsu, itu pun sudah berat.

“Bayangkan anggota polis pakai seragam sebenar yang jauh lebih berat. Memikirkan itu sahaja sudah memberikan semangat berbeza kepada saya,” jelasnya.

Syafiq ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media dan tayangan perdana filem Takluk: Lahad Datu baru-baru ini.

Latihan komando di Ulu Kinta

Pelakon Lelaki Telenovela Popular itu gusar sekiranya watak komando yang dibawanya kurang menjadi.

Namun, Syafiq bersyukur kerana latihan intensif bersama komando di kem Ulu Kinta, Perak selama seminggu banyak membantunya sebelum memasuki set penggambaran.

“Saya dan pelakon lain dilayan betul-betul macam budak baru jadi komandor. Latihan itu sangat agresif dan tegang. Ia sukar, tapi perlu demi memastikan kami mempunyai persediaan cukup sebelum pergi ke lokasi penggambaran di Sabah.

“Penggambaran dilakukan di lokasi sama ketika tragedi Lahad Datu. Rumah di kawasan Kampung Air bukan tempat yang selesa. Ada sampah dan sebagainya.

“Jadi, latihan persediaan di kem banyak membantu untuk berhadapan dengan cabaran sepanjang penggambaran lebih-lebih lagi udara tidak menentu kejap panas, hujan dan angin kuat,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, lebih mengejutkan, anggota polis sebenar yang terlibat semasa tragedi 2013 itu juga rupanya menjadi sebahagian daripada filem ini membuatkan kebolehan lakonan Syafiq lebih teruji.

“Bayangkan dalam filem, saya perlu beri arahan dan kata semangat di hadapan komando sebenar. Itu satu cabaran. Saya bersyukur kerana komando sangat baik dan tidak lokek memberikan sumbang saran untuk menjayakan watak.

“Malah, saya bersyukur kerana dapat dengar secara dekat pendedahan dan pengalaman mereka semasa terjadinya krisis itu.

“Saya tidak boleh kongsi lanjut isi cerita itu kerana melibatkan hal sensitif. Apa yang boleh saya katakan, semangat dan pengorbanan mereka lebih penting untuk kita bawa ke layar lebar berbanding apa yang mereka kongsikan kepada saya,” jelasnya.

Terdahulu, negara digemparkan dengan tragedi perairan Sabah diceroboh pengganas Sulu secara berperingkat sehingga menyebabkan pertempuran pada Mac 2013.

Filem Takluk: Lahad Datu bakal menemui penonton di Bulan Kemerdekaan bermula 16 Ogos ini

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN