PETALING JAYA: Kerajaan Timor-Leste menghadiahkan Malaysia tanah seluas 6,000 meter persegi yang boleh dimanfaatkan untuk melakukan pembinaan kedutaan dan pelbagai kegunaan lain untuk rakyat negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hadiah tersebut merupakan simbolik kepada hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste yang semakin kukuh.
Menurut beliau, lawatan rasminya ke Timor-Leste bermula semalam, membuka peluang kepada Malaysia dan negara tersebut untuk mengembangkan potensi kerjasama serta meneroka bidang-bidang baharu yang dapat memberi manfaat secara bersama.
Beberapa pertemuan dan perbincangan telah dilakukan berkisar kepada usaha memperkasa hubungan dua-hala termasuk tumpuan kepada sektor-sektor tertentu seperti pembangunan desa, perumahan, industri halal, pemerkasaan sektor pelancongan yang semakin berkembang serta usaha Timor-Leste untuk menjadi anggota baharu dalam ASEAN.
“Usaha untuk meningkatkan perdagangan dua-hala turut dilakukan dengan membuka peluang penglibatan yang lebih luas kepada sektor swasta untuk memainkan peranan mereka.
“Dalam hal ini, saya telah mencadangkan supaya TradeInvest Timor-Leste bagi menjalankan misi perdagangan dan pelaburan ke Malaysia dengan meneroka pelbagai peluang pelaburan yang berpotensi untuk manfaat kedua-dua negara,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kementeriannya melalui Institut Kemajuan Desa (INFRA) akan menjemput pemimpin dan pegawai kerajaan Timor-Leste yang terlibat secara langsung dengan pembangunan luar bandar untuk berkunjung ke Malaysia.
Jelasnya, ia bagi menawarkan peluang untuk mereka melakukan kajian kes dan menimba pengalaman Malaysia membangunkan kawasan luar bandar.
“Keberhasilan Program Lawatan Rasmi ke Timor-Leste ini turut diterjemah melalui pemeteraian Surat Niat (LoI) antara UniKL dan Kementerian Pendidikan Tinggi Timor-Leste bagi merealisasikan penubuhan pusat Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) baharu di negara ini.
“UniKL juga bersedia untuk menawarkan 50 biasiswa kepada pelajar Timor-Leste yang layak untuk melanjutkan pengajian Sarjana dan PhD di institusi tersebut,” katanya.
Sementara itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan dan rakyat Timor-Leste yang menyambut Ulang Tahun Referendum ke-25.
“Saya dan para delegasi turut berbesar hati apabila dijemput oleh Kerajaan Timor-Leste menghadiri Majlis Ulang Tahun Referendum ke-25 (Popular Consultation Day) di Parlimen Nasional.
“Sambutan ini merupakan suatu acara yang bersejarah buat Timor-Lester di mana rakyatnya telah bertindak memilih untuk menjadi sebuah negara yang bebas dan merdeka sekaligus bermulanya era baharu dalam sejarah negara ini.
“Semoga Timor-Leste terus berkembang maju dan berjaya mewujudkan kemakmuran, keamanan, dan kesejahteraan yang berpanjangan,” katanya. – UTUSAN