PUTRAJAYA: Empat beranak dari Seremban, Negeri Sembilan sanggup bermalam di dalam kereta malam tadi kerana tidak mahu terlepas menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, di sini hari ini.
Zamarul Azuan Abdul Rahim, 46, tiba di Putrajaya kira-kira pukul 2 petang semalam sebelum meletakkan kereta di kedudukan paling dekat dengan lokasi sambutan.
“Ini kali pertama kami sekeluarga datang melihat sambutan Hari Kebangsaan peringkat nasional kerana sebelum ini, hanya hadir di acara peringkat negeri.
“Anak-anak memang teruja sebab mahu melihat perarakan terutama aset ketenteraan negara serta pertunjukan udara dari dekat,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, warga Emas, Janny Lee, 69, berkata, walaupun sudah berusia 69 tahun, dia tidak pernah terlepas meraikan sambutan Hari Kebangsaan sejak dari kecil.
Wanita berasal dari Ampang, Selangor itu berkata, sebagai anak Malaysia, sambutan Hari Kebangsaan menjadi acara penting yang wajib dihadiri.
“Saya anak Malaysia dan saya tidak pernah terlepas sambutan, kalau demam pun, saya sediakan panadol dan datang untuk meraikan Hari Kebangsaan.
“Saya datang ke Putrajaya guna teksi, saya guna duit Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk datang demi menunjukkan semangat cintakan negara,” katanya.
Sementara itu, pelajar asing, Luo Moa Qin , 25, yang berasal dari China, berkata, dia sudah menunggu untuk menyaksikan acara terbabit sejak pukul 11 malam tadi.
Dia yang menuntut di sebuah universiti tempatan menerusi program pertukaran pelajar asing menyatakan ini adalah kali kedua hadir menyaksikan sambutan berkenaan.
“Saya memang suka kepelbagaian yang ada di Malaysia dan sejak menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu, ia membuat saya ingin datang lagi tahun ini,” katanya.
Suasana pagi di Putrajaya bukan seperti hari-hari biasa pagi ini apabila orang ramai mula membanjiri Dataran Putrajaya seawal pukul 1 pagi tadi bagi menyaksikan acara penuh gilang-gemilang yang bakal bermula pada pukul 8 pagi.
Lebih meriah, ada dalam kalangan pengunjung yang hadir dengan pakaian berwarna-warni dan tidak kurang juga ada yang menghiasnya dengan Jalur Gemilang.
Biarpun laluan ke kawasan utama acara sambutan ditutup sejak jam 6 petang semalam namun, pengunjung yang hadir tetap bersemangat menaiki pengangkutan awam yang disediakan. – UTUSAN