Tidak patah semangat, Yusof Haslam tekad terus bawa filem tempatan tembusi Indonesia - Utusan Malaysia

Tidak patah semangat, Yusof Haslam tekad terus bawa filem tempatan tembusi Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengasas Skop Production, Datuk Yusof Haslam tidak menolak bahawa strategi pemasaran yang lemah menjadi antara punca yang mengakibatkan filem Sheriff: Narko Integriti gagal mengumpul kutipan memberangsangkan di Indonesia.

Kata Yusof, filem tersebut sebenarnya berpotensi bersaing dipasaran negara itu sekiranya kaedah penjualannya dirancang dengan betul dan teliti.

“Saya akui, memang berlaku kesilapan. Kita terus tayang selepas sesi pratonton. Agak mengejut dan itulah silapnya.

“Ramai penulis blog di Indonesia mengatakan filem ini bagus. Cuma pada pandangan mereka, mungkin strategi (pemasaran) tak betul.

“Tapi di Hongkong pula, kami berjaya kutip dalam RM500,000,” katanya selepas majlis kesyukuran dan doa selamat filem Sheriff: Narko Integriti di ibu negara, semalam.

Pengarah, Syafiq Yusof sebelum ini berkongsi di media sosial mengenai kegagalan filem itu mendapat sambutan di Indonesia sejak mula ditayangkan di 100 pawagam bermula 23 Mei lalu.

“Filem Sheriff tidak mendapat sambutan di Indonesia. Jadi, banyak tayangan diturunkan secara drastik.

“Apapun, saya berterima kasih kepada CGV Cinemas kerana membuka pintu dan memberi peluang untuk filem Malaysia ditayangkan di sana… Terima kasih Indonesia,” katanya menerusi platform X.

Mengulas lanjut, Yusof menegaskan beliau tidak patah semangat dan akan terus berusaha untuk membawa filem-filemnya menembusi pasaran negara jiran.

“Sebelum ini, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan juga menerima nasib yang sama. Tak jalan, selepas tiga hari tayangan di Indonesia. Tapi, saya tak luntur semangat.

“Kita kena ingat, filem Munafik, berjaya kutip RM5 juta di sana, meskipun sekadar ditayangkan di 100 pawagam yang bertaraf MBO Cinemas sahaja.

“Ketika filem itu dipasarkan di Indonesia pada tahun 2019, kami mohon agar ia dapat ditayangkan di 400 pawagam di sana. Tapi yang diluluskan hanya 100 pawagam sahaja. Pihak pengedar cukup yakin Munafik mampu kutip sehingga RM20 juta kalau filem itu berjaya ditayangkan di 400 pawagam di Indonesia.

“Jadi, untuk kita katakan filem kita tak dapat sambutan di sana, tidaklah begitu. Filem kita ada permintaan, cuma strategi pemasarannya harus dirancang dengan betul,” kongsinya.

Dalam pada itu, Yusof atau nama sebenarnya Mohd. Yusof Md. Haslam Khan mengingatkan kepada pembikin filem tempatan agar tidak berputus asa untuk membawa filem mereka menembusi pasaran negara jiran meskipun berdepan jalan sukar.

“Apa pun, kita kena usahakan, walau pun filem kita tak ‘jalan’ di Indonesia. Contoh seperti filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, kita usahakan walau pun filem itu tak ‘jalan’ di sana.

“Semua ini berbalik kepada rezeki. Filem dari Indonesia juga berdepan situasi yang sama apabila dipasarkan di negara kita. Ada filem mereka yang laku dan ada juga yang tidak,” sambungnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya