Tidak dilayan macam manusia, hanya menyorok dalam tandas - Amelia - Utusan Malaysia

Tidak dilayan macam manusia, hanya menyorok dalam tandas – Amelia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Amelia Henderson, mendedahkan cabaran yang dihadapi semasa kembali semula ke dunia hiburan pada 2015.

Dedah Amelia atau Amelia Thripura Henderson, 29, dia pernah dipulaukan semasa diundang ke sebuah acara fesyen membuatkannya berasa janggal dan bersembunyi di dalam tandas.

“Apabila saya kembali, orang tidak mengenali saya. Selain berlakon, saya cuba bermacam perkara termasuklah menjadi pengacara di beberapa majlis berkenaan fesyen.

“Ada banyak acara yang saya hadiri, cuma saya masih ingat satu momen di mana dalam acara itu, tiada sesiapa yang mahu bercakap dengan saya. Orang seperti tidak lihat saya berada di majlis itu. Saya merupakan antara yang paling muda di situ.

“Jadi, apa yang saya buat, saya pergi tandas dan menyorok. Kemudian saya telefon emak dan luahkan ‘mak, apalah yang saya buat di sini’. Memang saya rasa seperti tidak diundang,” katanya dalam satu temu bual audio siar Sembang Atas Dulang.

Bukan itu sahaja, dedah pelakon drama I.D itu lagi, sudah menjadi kebiasaan untuk seseorang artis dipandang serong dan tidak dihormati di awal kerjaya seninya.

“Saya boleh cakap, tiada rasa hormat diberikan di awal kerjaya seorang artis atau sehinggalah orang rasa awak layak mendapatkan rasa hormat itu.

“Waktu saya mula-mula datang kembali ke dalam industri, tidak ramai yang masih ingat siapakah saya semasa kecil. Ada banyak situasi di mana saya tidak dibenarkan untuk menyatakan pendapat.

“Contohnya, saya diberikan sesuatu watak, tapi saya tidak benarkan memberi berpendapat bagaimana untuk membawakan watak tersebut.

“Dia berikan saya tekanan hanya kerana saya muda dan nama saya masih kecil. Perkara itu membuatkan saya nampak bodoh di skrin,” jelasnya.

Susulan itu, pemenang Anugerah Model Terbaik Negara 2019 itu tidak menafikan pernah menyimpan dendam, namun perlahan-lahan dilupakan kerana mahu memberikan fokus kepada perkara lebih besar.

“Saya pernah ada perasaan ingin jadi pelakon yang dikenali dan buktikan kepada semua orang yang pernah ‘pijak’ saya dulu. Bila nama semakin besar, mereka akan ubah naratif mengatakan kita terbaik.

“Ini adalah kitaran hidup semua orang, apa yang saya boleh buat sekarang ialah saya biarkan sahaja walaupun memang ada perasaan mahu balas balik.

“Saya sedar kita tidak boleh terlalu ambil kisah apa yang orang cakap tentang kita, mungkin mereka cuba untuk nampak dikenali dalam bidang mereka juga,” jelasnya.

Amelia berkongsi perkara berkenaan bagi memberi respons situasi yang pernah dihadapi pengacara, Ceddy Ang dalam podcast berkenaan.

Terdahulu, Amelia memulakan langkahnya dalam industri hiburan pada usia setahun sebagai seorang model dan pelakon. Dia kemudian berehat daripada industri hiburan pada usia 14 tahun bagi memberi tumpuan kepada pelajaran. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya