KUALA LUMPUR: “Tidak baik kata begitu.”
Demikian respon pelakon, Puteri Sarah, ketika ada pihak yang mengaitkan keretakan rumah tangga bekas suaminya, Syamsul Yusof dengan Ira Kazar sebagai balasan daripada Allah.
Jelas Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 39, dia enggan masuk campur urusan perkahwinan mereka sebaliknya hanya mendoakan yang terbaik buat pasangan itu.
“Saya tidak mahu komen mengenai itu. Tidak baik kata begitu dan saya sebenarnya tidak ambil tahu. Saya, keluarga dan mentua pun tahu mengenai perkara itu menerusi Instagram (IG) .
“Kami memang tidak tahu apa-apa dan tidak mahu ambil tahu. Sebagai keluarga kita doakan yang terbaik sahaja untuk mereka berdua,” katanya.
Sarah ditemui Utusan Malaysia di Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Ketika ditanya adakah pelakon Hijrah Jannah itu menyimpan rasa simpati terhadap apa yang berlaku, Sarah terkedu.
“Saya tidak tahu nak cakap macam mana. Simpati dan saya mendoakan yang terbaik buat mereka kerana perkara ini memang tidak dijangka,” katanya lagi.
Bukan itu sahaja, Sarah turut ketawa ketika ditanya mengenai komen nakal yang memintanya agar rujuk kembali dengan bekas suami.
“Saya hanya mampu ketawa sahaja. Rasanya tidak (rujuk). Cukuplah kami sekadar berkawan dan sama-sama menjaga anak.
“Kalau boleh saya memang tidak mahu lagi dikaitkan dengan Syamsul,” katanya.
Terdahulu, pada 13 Jun tahun lalu rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul berakhir apabila mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah, 5.
Sebelum ini, pada 19 Ogos lalu, Syamsul telah memfailkan perceraian terhadap isterinya, Ira Kazar, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur. – UTUSAN