Tiada rakyat Malaysia terlibat insiden protes UK - Wisma Putra

Tiada rakyat Malaysia terlibat insiden protes UK – Wisma Putra

KUMPULAN perusuh di United Kingdom.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden protes di United Kingdom (UK) ketika ini.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya memantau rapat situasi itu yang disahkan masih dalam keadaan terkawal.

Bagaimanapun, katanya, semua rakyat Malaysia di UK dinasihatkan untuk menjauhkan kawasan protes, kekal berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan yang diberikan pihak berkuasa tempatan.

“Mana-mana rakyat Malaysia yang belum berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London dinasihatkan berbuat demikian bagi memastikan mereka boleh dihubungi dan diberikan bantuan sekiranya berlaku kecemasan.

“Langkah ini juga membolehkan pihak suruhanjaya tinggi memberikan laporan terkini dan sokongan yang diperlukan,” katanya hari ini.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, mereka yang berkunjung ke UK kurang daripada satu bulan diminta menghantar e-mel kepada Suruhanjaya Tinggi di [email protected].

Katanya, subjek e-mel hendaklah memasukkan hari terakhir pelawat di UK diikuti dengan nama dalam format YYYYMMDD NAMA.

Selain itu, katanya, nama ahli keluarga yang turut serta, nombor Kad Pengenalan, nombor pasport, alamat di UK, nombor telefon dan tempoh tinggal di UK juga perlu disertakan dalam kandungan e-mel tersebut.

Malah, Suruhanjaya itu juga meminta mereka turut menyertakan nama, nombor telefon dan hubungan dengan waris.

“Bagi mereka yang menetap atau melawat UK lebih daripada satu bulan, daftar kehadiran anda melalui perkhidmatan e-Konsular Kementerian Luar Negeri melalui laman sesawang atau aplikasi mudah alih.

“Bagi pelajar Malaysia, pendaftaran boleh dibuat melalui platform pendaftaran Kementerian Pendidikan Tinggi di https://dohe.mohe.gov.my/mydata/login,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, rakyat Malaysia di UK yang telah mendaftar dengan portal TalentCorp MyHeart dianggap telah mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London dan tidak perlu tindakan lanjut.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, rusuhan anti pendatang di UK sejak minggu lalu semakin parah dengan sebanyak 370 individu dilapor telah ditahan polis dalam tempoh seminggu.

Rusuhan itu dipercayai berpunca daripada kejadian pembunuhan tiga gadis di barat laut England, hujung Julai lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN