Tiada laporan polis babit XFOX Market, siasatan oleh BNM - Utusan Malaysia

Tiada laporan polis babit XFOX Market, siasatan oleh BNM

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang laporan diterima polis mengenai penipuan pelaburan membabitkan syarikat XFOX Market Sdn. Bhd. yang dikenakan tindakan penguatkuasaan, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan terhadap syarikat itu dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Hasil semakan sejak XFOX Market Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 2021 sehingga terkini mendapati tiada mangsa membuat laporan polis berkaitan penipuan pelaburan tidak wujud membabitkan syarikat itu.

“Syarikat kini dalam siasatan BNM berkaitan kesalahan pengambilan deposit secara haram mengikut Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan (APK) 2013,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan pelbagai barangan mewah dan 92 akaun bank membabitkan nilai lebih RM30 juta milik syarikat pelaburan yang disyaki menjalankan aktiviti penipuan pelaburan dirampas serta disita BNM.

BNM menerusi satu kenyataan memaklumkan, rampasan dan sitaan dibuat hasil operasi bersepadu di 12 premis sekitar Lembah Klang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN