PUTRAJAYA: Kerajaan setakat ini belum mengeluarkan sebarang arahan dan ketetapan kepada penjawat awam supaya tidak menggunakan aplikasi Telegram.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kebiasaannya aspek keselamatan (larangan) ini kebiasaannya diuruskan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
“Waktu ini kita belum terima apa-apa arahan serupa (larangan),” katanya dalam sidang akhbar hari ini sebagai mengulas gesaan Majlis Perbandaran Amsterdam, Belanda yang menggesa anggota Kabinet serta kakitangan peringkat tertinggi untuk berhenti menggunakan aplikasi Telegram kerana kebimbangan terhadap aktiviti jenayah dan risiko pengintipan.
Difahamkan, larangan itu dibuat selepas aplikasi Telegram dikaitkan dengan kontroversi sebagai tempat pelindungan selamat untuk penggodam, penjenayah siber serta pengedar dadah.
Sementara itu, Fahmi berkata, pihaknya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang melakukan sesi libat urus dengan pemegang taruh dan platform media sosial mengenai aspek pelesenan.
“Kita percaya dengan proses perlesenan itu nanti, semua platform media sosial dan juga sistem pesanan internet akan akur dengan syarat-syarat dikenakan untuk menjamin internet yang lebih selamat bagi rakyat Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pihaknya memberi jaminan proses permohonan lesen untuk penyedia platform media sosial beroperasi di negara ini adalah tidak sukar.
Katanya, MCMC memaklumkan proses permohonan lesen itu dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima hari bekerja.
“Kementerian Komunikasi dijangka menerima permohonan mendapatkan lesen daripada pengendali platform media sosial sekitar Oktober atau November ini.
“Kita beri jaminan kepada (penyedia) platform media sosial memandangkan yang kita kenakan ini adalah ‘Class License’ maka prosesnya tidak sukar dibandingkan dengan ‘Individual License’.
“Kalau ‘Individual License’ mungkin akan ambil masa beberapa bulan untuk diproses tetapi bagi ‘Class License’, MCMC memaklumkan akan ambil masa tiga hingga lima hari bekerja,” katanya.
Kerangka kawal selia atau perlesenan perkhidmatan media sosial diperkenalkan pada 1 Ogos dan berkuat kuasa mulai tahun depan, tidak melibatkan pengguna platform media sosial berkenaan.
Pada 27 Julai lepas, MCMC memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). – UTUSAN