Terengganu sambut 23 bayi Hari Kebangsaan

Terengganu sambut 23 bayi Hari Kebangsaan

KASEMANI Embong (kanan) beramah mesra  bersama Normala Zakaria yang melahirkan  bayi perempuan pada Hari Kebangsaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 23 bayi merdeka iaitu 12 bayi  dan 11 perempuan dilahirkan di seluruh Terengganu bermula pukul 12 tengah malam tadi hingga 11 pagi ini.

Daripada jumlah itu, seramai 18 bayi dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu; tiga di Hospital Kemaman, masing-masing satu di Hospital Setiu dan Hospital Hulu Terengganu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, bayi pertama yang dilahirkan ialah bayi lelaki pada pukul 1.23 pagi di HSNZ.

Menurutnya, kesemua bayi tersebut menerima hadiah istimewa daripada beberapa pihak iaitu Co-opbank Pertama, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Terengganu.

“Hari ini, JPN Terengganu turut mengambil kesempatan untuk bertemu ibu bapa yang bertuah dan memberi penerangan mengenai tempoh pendaftaran kelahiran bayi kepada mereka.

“Semua cenderahati yang diberi ini diharap akan menceriakan lagi keluarga bayi merdeka pada tahun ini,” katanya kepada pemberita dalam majlis meraikan kelahiran bayi merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Rawatan Ibu dan Anak (PRIBA) di sini hari ini.

Sementara itu, Syafinaz Mohamad, 25, dan suaminya, Muhammad Faris Aslam, 26, berkata, anak mereka menjadi bayi pertama yang lahir pada ulangtahun hari kebangsaan Malaysia ke-67 hari ini.

“Ini adalah bayi kedua kami yang sepatutnya lahir pada 30 Ogos namun, rezeki kami dapat menimang cahaya mata lelaki pada tarikh bersejarah buat negara.

“Harapan saya, agar anak kedua ini akan menjadi seorang warganegara yang hebat untuk menyumbang sesuatu kepada Malaysia,” katanya.

Seorang lagi ibu, Normala Zakaria, 32, pula berkata, dia dan suami, Ahmad Fahmi Ab Ghafar, 29, bersyukur kerana dikurniakan cahaya mata perempuan, iaitu anak ketiga mereka pada tarikh sebenar jangkaan kelahiran.

“Sejak tahu tarikh jangka kelahiran, hati memang berdebar-debar namun saya tidak mahu terlalu berharap sebaliknya banyakkan berdoa agar kelahiran ini selamat.

“Kami pulang ke Terengganu dari Johor pada awal bulan kerana ibu bapa suami berharap bayi ini dilahirkan di Terengganu pada hari ulang tahun kemerdekaan Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya