PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad terbukti menyuruh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk membubarkan UMNO ketika pemerintahannya sebagai Perdana Menteri.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, perkara itu terbukti menerusi satu rakaman video berhubung ‘gesaan’ bekas Perdana Menteri itu.
“Beliau telah berjumpa dengan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO dan mengeluarkan ayat “Saya minta Zahid bubar UMNO”.
“Insiden ini berlaku dengan kuasa sebagai Perdana Menteri yang berkuasa ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan niat memberi tekanan kepada Presiden UMNO untuk ikut kata, sekiranya gagal akan didakwa dengan pelbagai dakwaan lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Razlan berkata, bahu Ahmad Zahid dikatakan memikul untuk membubarkan UMNO ini sebenarnya memikul bebanan dakwaan yang tidak benar dengan tindakan mahkamah.
Katanya, beliau dengan sengaja mahu memburukkan UMNO apabila tidak mahu ikut kata Mahathir,” katanya.
Semalam, Pejabat Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu, Dr Mahathir tidak pernah berusaha mengharamkan UMNO seperti didakwa Timbalan Perdana Menteri itu.
Katanya, Dr Mahathir menyuruh Zahid membubarkan UMNO kerana parti itu sudah kalah (dalam PRU14), tidak lagi mewakili orang Melayu; pemimpin-pemimpinnya terkait dengan rasuah dan sudah tidak lagi berjuang demi agama, bangsa dan tanah air seperti tujuan asal parti itu ditubuhkan.
Pembubaran yang dicadangkan terletak di atas bahu Zahid dan kepimpinan UMNO jika mereka menyedari bahawa parti itu telah terpesong dari perjuangannya dan tidak layak mengguna nama UMNO. – UTUSAN