PETALING JAYA: Status rumah tangga pelakon dan usahawan popular, Nur Fazura dengan suami, Fattah Amin kembali mencuri perhatian selepas aktres itu mengular siar petikan kata-kata di Instagramnya.
Fazura berkongsi kata-kata itu diikuti emoji berbentuk hati dan telapak tangan seolah-olah bersetuju dengan hantaran itu.
“Jangan terlalu memikirkan betapa mustahilnya sesuatu perkara itu. Lebih baik jika kita kekal tenang dan percayalah bahwa tiada yang mustahil bagi Allah.
“Jika Allah memang mentakdirkan sesuatu itu untukmu, Dia akan menghamparkan jalan dengan cara yang tidak pernah disangka kerana Allah Maha Pemberi.
“Kita tidak tahu apa perancangan paling baik yang Allah tetapkan buat kita. Betapa setia Allah mendengar semua doa kita dan menjawabnya dengan keajaiban jika kita terus percaya.
“Walau seberapa mustahilnya hajat dan impian kita. Tetaplah bersabar dan berserah diri kepada-Nya,” tulis kata-kata itu.
Baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila wargamaya mula membuat spekulasi pelakon Pisau Cukur itu tidak lagi mengikuti Instagram penata gaya tudungnya.
Sementara itu, Fazura kini berada di Munich, Jerman bagi menonton konsert penyanyi antarabangsa Adele ditemani pengurus tanpa kelibat Fattah.
Desas-desus keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah hangat diperkatakan sejak Mei lalu apabila kedua-duanya tidak memuat naik gambar bersama dalam media sosial.-UTUSAN