Teksi air, Cruise Tasik boleh dinaiki percuma 31 Ogos ini

Teksi air, Cruise Tasik Putrajaya percuma pada 31 Ogos ini

TEKSI Air Putrajaya boleh dinaiki secara percuma kepada orang awam pada 31 Ogos sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perkhidmatan teksi air adalah antara mod pengangkutan yang disediakan bagi memudahkan orang ramai hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebanyak enam buah teksi air dan tiga ‘cruise’ tasik disediakan secara percuma untuk orang awam hadir menyaksikan sambutan hari berkenaan.

Menurutnya, orang awam boleh menaiki teksi air di dua laluan iaitu Laluan 1 membabitkan Jeti Ayer 8 – Jeti Monumen, manakala Laluan 2 pula (Jeti Kelab Tasik – Jeti Monumen).

“Manakala, bagi laluan 3 (cruise tasik) pula adalah Jeti Marina – Jeti Anjung Floria,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, perkhidmatan itu ditawarkan percuma bermula pukul 5 pagi hingga 12 tengah hari pada hari sambutan itu sahaja.

Fahmi berkata, kekerapan teksi air bagi Jeti Ayer 8 ke Jeti Monumen adalah setiap 10 minit, manakala Jeti Tasik Putrajaya ke Jeti Monumen pula kekerapannya setiap 15 minit dan Jeti Marina ke Jeti Anjung Floria (setiap 20 minit).

Sebelum ini, Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku tuan rumah sambutan Hari Kebangsaan memaklumkan, tiga kawasan parkir utama turut disediakan, iaitu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang boleh memuatkan hingga 1,200 kenderaan, sekitar Taman Botani dan Bulatan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, serta Putrajaya Sentral.

Difahamkan, sebanyak 80 bas ulang-alik membabitkan 40 bas dua tingkat dan 40 bas setingkat disediakan untuk kemudahan pengunjung.

Selain itu, kapasiti tempat duduk awam pada acara sambutan itu juga ditambah kepada 8,000, tahun ini, berbanding 4,000 pada tahun lalu bagi membolehkan orang ramai menyaksikan pelbagai persembahan, termasuk perarakan aset dan kontinjen.

Pada masa sama, dua lokasi menjual makanan disediakan seawal pukul 8 malam (30 Ogos) iaitu di kawasan bangunan Suruhanjaya Tenaga dan Tapak Royal Floria Putrajaya yang menghimpunkan sekitar 162 peniaga, serta dua lokasi trak makanan bergerak di Lebuh Bestari dan Jalan Kemerdekaan.

PPj selaku Jawatankuasa Logistik dan Persiapan Tempat sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos, turut menyediakan kemudahan lain seperti khemah perubatan, surau serta tandas bergerak untuk keselesaan pengunjung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN