Tatakelola baik agenda penting KSN baharu

Tatakelola baik agenda penting KSN baharu

SHAMSUL Azri Abu Bakar mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar bertekad meletakkan aspek tatakelola sebagai agenda penting dalam mentadbir urus perkhidmatan awam negara.

Beliau yang memulakan tugasnya pada hari ini turut mahu kesemua 1.6 juta penjawat awam di negara ini dapat memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat dan menterjemahkan agenda itu sebagaimana ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegasnya, sebagai benteng negara, penjawat awam mesti taat setia kepada kerajaan dan bersama dengan kepimpinan negara dalam membawa Malaysia ke arah lebih baik.

“Alhamdulillah, ini hari pertama saya jalankan tugas sebagai KSN dan pada kesempatan ini saya merayu marilah kita kerja bersama-sama demi rakyat dan negara, demi membangunkan negara tercinta.

“Saya yakin dengan jentera kerajaan yang ada kita dapat beri perkhidmatan terbaik untuk rakyat. Insya-Allah, dengan kepimpinan Perdana Menteri saya yakin dengan kepimpinan beliau bawa Malaysia ke arah lebih cemerlang.

“Penjawat awam mesti taat setia kepada kerajaan, penjawat awam benteng negara. Sepertimana Perdana Menteri bawa, beliau amat pentingkankan tatakelola, itu akan jadi agenda penting saya dalam mentadbir,” katanya.

Terdahulu, beliau mengimbas kad perakam waktu pada pukul 8.45 pagi sebagai simbolik memulakan tugas sebagai KSN ke-16 di bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Pelantikan Shamsul Azri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bagi menggantikan Tan Sri Mohd. Zuki Ali yang tamat kontrak perkhidmatan pada 10 Ogos selepas hampir lima tahun memimpin penjawat awam.

Shamsul Azri, 55, bekas Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari University of Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat.

Beliau juga menerima pendedahan dengan beberapa institusi antarabangsa antaranya University of Cambridge, United Kingdom dan European Institute of Business Administration (INSEAD).

Beliau mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam per­khidmatan awam, pernah bertugas di Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Pentadbiran Kerajaan Negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN