Tanaman padi musim ini tidak terjejas, musim depan belum pasti

Tanaman padi musim ini tidak terjejas, musim depan belum pasti

padi
KEADAAN Tasik Pedu yang menjadi sumber air kepada Empangan Pedu berada pada tahap berjaga-jaga ekoran penyusutan air disebabkan cuaca panas di Padang Terap. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bekalan air sedia  ada mencukupi untuk menampung keperluan sawah sehingga pokok padi mencapai tahap matang antara 100 ke 120 hari.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi Badan Bertindak Petani Mada, Che Ani Mat Zain, sekiranya cuaca panas dan ketiadaan hujan berterusan, situasi itu akan menyukarkan petani memulakan musim tanaman baharu bermula Oktober ini.

Katanya, impak kemarau berpanjangan pada musim tanaman 1/2024 belum dapat dilihat sepenuhnya berikutan ia akan tamat antara Ogos hingga September.

“Cuma kita bimbang jika cuaca berterusan tidak hujan sehingga September depan kerana sistem saliran sawah di Kedah dan Perlis bergantung sepenuhnya kepada bekalan air dari Empangan Muda dan Pedu yang
kini kritikal dan berjaga-jaga.

“Ini kerana pokok padi memerlukan bekalan air yang cukup bermula ketika waktu menabur hingga umur padi memasuki 80 hari bagi membolehkan butir beras dihasilkan dalam jumlah banyak, kalau tidak cukup air akan berlaku padi hampa,” katanya kepadaUtusan Malaysia semalam.

Utusan Malaysia melaporkan, Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran beras tahun ini dijangka menurun kepada 50 peratus susulan cuaca panas dan kemarau yang mengakibatkan 130,000 hektar sawah seluruh negara terjejas.

Jumlah itu menurun 10 peratus berbanding sasaran SSL tahunan beras iaitu 60 peratus bagi mengurangkan kebergantungan kepada beras import.

Sementara itu, Che Ani berkata, Kedah dan Perlis sering mengalami kemarau bermula Disember hingga April setiap tahun tetapi kejadian itu tidak terlalu menyusutkan air di empangan-empangan.

Namun katanya, keadaan itu berbeza pada tahun ini apabila jumlah hujan yang diterima sangat rendah sehingga terdapat kawasan sawah di Perlis dilaporkan tidak menerima hujan sejak beberapa bulan lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN