KUALA LUMPUR: ”Terima kasih di atas usaha yang dilakukan semua..”
Demikian ucapan penghargaan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman di hadapan para petugas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini hari ini.
Sulizme berkata, beliau menghargai usaha semua pihak terlibat dalam SAR di lokasi kejadian.
“Penghargaan kepada usaha tuan-tuan dan puan-puan sepanjang operasi di lokasi dalam usaha SAR walaupun keputusan dan pencarian dibuat tiada sebarang penemuan positif.
“Tetapi sekurangnya semangat tuan puan telah menunjukkan satu komitmen tinggi untuk sama-sama bekerja,” katanya dalam perbarisan akhir setelah SAR ditamatkan pada hari kesembilan di lokasi kejadian.
Ucapan penghargaan itu ditujukan kepada semua petugas antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Indah Water Konsortium (IWK).
Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimumah Mohd Sharif.
Terdahulu, Dr. Zaliha memaklumkan operasi mencari dan menyelamat wanita warga India yang terjatuh di lokasi kejadian dihentikan serta-merta pada hari kesembilan.
Katanya, keputusan itu diambil atas beberapa faktor terutamanya disebabkan keselamatan anggota dan orang ramai.
Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, berasal dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India di sini. – UTUSAN