KUALA LUMPUR: Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjatuh dalam insiden tanah jerlus di Masjid India di sini, berdepan risiko tekanan air tinggi dan serpihan halangan sepanjang 15 meter sekiranya ia dapat dialihkan dalam saluran pembetung berhampiran Wisma Yakin, di sini.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pergerakan penyelam untuk ke kawasan halangan agak terbatas berdasarkan operasi dilakukan semalam.
“Itu antara cabaran empat penyelam pakar yang dibawa dari Akademi JBPM Wilayah Utara sejak semalam.
“Berdasarkan pemeriksaan di Wisma Yakin, kita rasa hanya boleh bergerak sedikit sahaja (untuk ke halangan).
“Yang merisaukan kita adalah back log (halangan) itu mampu memberi tekanan 100m³ (kubik meter) tekanan air sekiranya terungkai dan memberi risiko kepada penyelam,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, kaedah tarikan dalam kadar minimum dibuat menerusi alatan khas yang akan dilaksanakan pasukan SAR membabitkan JBPM, Indah Water Konsortium (IWK), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Malam ini selepas mengurangkan paras air kita gunakan pancutan kuasa tinggi daripada IWK.
“Kalau keadaan ketika itu selamat, kita akan turun (ke arah halangan) dan bincang langkah seterusnya. Pada masa sekarang risiko terlampau tinggi ekoran paip penuh (air) dan tekanan himpunan halangan itu,” katanya.
Bagi mengurangkan risiko kepada penyelam, Nor Hisham berkata, pihaknya mewajibkan untuk memakai set pakaian lengkap skuba serta oksigen mencukupi ketika melakukan selaman dan pencarian.
“Tidak dinafikan ada bahan kimia di dalam sana seperti metana. Apabila gas lain memenuhi ruang, gas oksigen akan turun.
“Kita mensyaratkan yang masuk pakai skuba set agar dapat oksigen mencukupi, kita juga mematuhi standard IWK dan pemantauan gas ketika masuk itu selamat,” katanya. – UTUSAN