KUALA LUMPUR: Laluan di sepanjang Jalan Masjid India hari ini ditutup bagi semua jenis kenderaan ekoran kejadian kedua tanah mendap, kira-kira 100 meter dari lokasi tanah jerlus di Masjid India.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, laluan tersebut ditutup dengan garisan kuning polis sepanjang 200 hingga 300 meter bagi semua kenderaan atas faktor-faktor keselamatan.
Malah, anggota-anggota polis turut kelihatan berkawal di sepanjang laluan itu bagi mengelakkan kenderaan melaluinya.
Selain itu, orang ramai dilarang melintasi sepanjang laluan yang ditutup tersebut.
Terdahulu, media melaporkan berlaku kejadian tanah mendap kira-kira 50 meter dari lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Kejadian tanah mendap itu dipercayai berlaku sekitar 2.30 pagi ini selepas hujan lebat dan ribut pada Selasa malam.
Bagaimanapun, tinjauan di lokasi mendapati kawasan itu ditutup sepenuhnya oleh pasukan keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Jumaat lalu, seorang wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra, dilaporkan hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di situ dengan operasi mencari dan menyelamat memasuki hari keenam hari ini.
Difahamkan, alat pengesan Ground Penetrating Radar (GPR) atau radar menembusi tanah digunakan pada hari keenam untuk mengesan wanita warga India yang masih hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini.- UTUSAN