Tanah jerlus: Kementerian tawar khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa

Tanah jerlus: Kementerian tawar khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menawarkan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pegawai-pegawai berkenaan dari kementerian telah berjumpa dengan ahli keluarga mangsa untuk menawarkan bantuan khidmat kaunseling tersebut.

Bagaimanapun jelasnya, keluarga mangsa menolak tawaran khidmat kaunseling tersebut dan memohon diberi ruang untuk bertenang selepas terkejut dengan kejadian itu.

“Kementerian nak beri kaunseling, namun keluarga mangsa tidak bersedia buat masa sekarang sebab mereka mahukan ketenangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak peringkat negeri Terengganu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 2 di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Nancy memberitahu, sebanyak 3,957 kes pengabaian kanak-kanak dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, di mana kanak-kanak terlibat memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

Beliau berkata, Sabah merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 533 kes, diikuti Johor (523), Kuala Lumpur (427) dan Selangor (355).

Menurutnya, data tersebut amat membimbangkan dengan trend kenaikan berbanding 3,767 kes bagi tempoh Januari hingga Jun tahun lalu.

“Memang kes pengabaian kanak-kanak semakin membimbangkan dan sebab itu kementerian turun ke sekolah-sekolah untuk beri pendedahan kepada kanak-kanak mengenai hak mereka.

“Kita tak boleh lagi hanya memberi advokasi kepada orang dewasa, sebaliknya kita pergi ke sekolah untuk berkongsi dengan kanak-kanak ini agar mereka yakin ada peluang untuk melindungi diri sendiri.

“Kalau berlaku (pengabaian dan jenayah terhadap kanak-kanak) di rumah sendiri, macam mana mereka perlu bertindak, ini yang sedang kita laksanakan untuk mengatasi kes seumpama ini,” katanya.

Tambah Nancy, kementerian menyasarkan 300 program advokasi di sekolah seluruh negara menjelang Disember tahun ini agar kanak-kanak diberi pendedahan yang sewajarnya.

“Program advokasi ini bukanlah sebarangan kerana  disertai penceramah-penceramah yang hebat dari Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia untuk meningkatkan kesedaran mengenai buli siber dan sentuhan selamat untuk anak-anak ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN