Tanah jerlus: Fokus SAR alihkan halangan sepanjang 15 meter dalam paip pembentungan

Tanah jerlus: Fokus SAR alihkan halangan sepanjang 15 meter dalam paip pembentungan

KETUA PENGARAH JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA, DATUK NOR HISHAM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Fokus pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India, G. Vijaya Lakshmi dalam insiden tanah jerlus di Masjid India di sini setakat ini, bagi mengalihkan halangan sepanjang 15 meter dalam paip pembentungan yang dikesan antara lokasi kejadian dengan Wisma Yakin di sini. 

Halangan tersebut dipercayai daripada pelbagai objek antaranya botol, tayar dan lemak pejal melalui hasil pemerhatian penyelam pasukan SAR di lurang kumbahan itu malam tadi. 

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamed berkata, ‘blockage’ atau halangan berkenaan dikesan dalam paip pembetungan, kira-kira 44 meter dari lokasi utama kejadian. 

Katanya, halangan itu dikesan susulan ujian aliran air menggunakan tong yang dilakukan daripada hari pertama dan kedua kejadian dengan melepaskannya dalam paip pembentungan hingga di Loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam.

“Berdasarkan dua ujian yang kita laksanakan, pelepasan tong air daripada hari pertama dan juga hari kedua yang kita buat iaitu dua (tong) daripada ‘ground zero’ (lokasi tanah jerlus) dan dua (tong) daripada Wisma Yakin.

“Daripada pemerhatian kita di setiap ‘chamber’ (lurang kumbahan) dan di Loji IWK Pantai Dalam, dua tong yang dilepaskan dari ‘ground zero’ itu tidak keluar. 

“Justeru, selepas kita melihat dan membaca  jarak gerakan kamera itu, kita percaya bahawa terdapat halangan sepanjang 15 meter di dalam paip kira 44 meter dari lokasi kejadian tanah jerlus,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Nor Hisham, pihaknya menggunakan dua pendekatan bagi mengenal pasti halang terbabit dengan mengalihkan sebahagian aliran masuk bagi mengurangkan paras air.

Jelas beliau, pendekatan kedua dengan menggunakan pam berkapasiti tinggi untuk mengepam air kira-kira 10,000 hingga 20,000 liter. 

“Hasilnya pada 4 pagi tadi, kita dapat menurunkan paras air ke 0.8 meter daripada 1.5 meter saiz paip sebelum memasukkan kamera daripada dua arah iaitu atas dan juga bawah. 

“Daripada atas dapati tidak berlaku pengurangan air yang nyata, hanya 0.3 meter tetapi di bawah kita lihat ia menurun hampir separuh daripada paip.

“Selepas melihat dan membaca jarak gerakan kamera pada jarak 7.6 meter, pihaknya percaya terdapat halangan dalam paip pembentungan daripada lurang kumbahan di Wisma Yakin.

“Berikutan itu, pada pukul 5 petang tadi, kita memulakan usaha untuk merungkaikan ‘backlog’ itu. Sekiranya berjaya, kita akan nampak seluruh permukaan dan malam ini, kita akan ulang kaedah itu,” katanya.

Jelas beliau, usaha mengalihkan halangan itu perlu dilakukan dengan berhati-hati oleh anggotanya menggunakan batang besi dan mengikat tali bagi mengelak berlaku aliran deras secara tiba-tiba yang boleh membahayakan keselamatan petugas.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN