Tanah jerlus: Enam anggota Unit Skuba bantu cari mangsa

Tanah jerlus: Enam anggota Unit Skuba bantu cari mangsa

PASUKAN mencari dan menyelamat menjalankan operasi di tapak tanah jerlus yang mengakibatkan seorang wanita warga India hilang di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menempatkan enam anggota Unit Skuba pada satu masa setiap kali memeriksa enam lurang kumbahan untuk mencari mangsa kejadian tanah jerlus Jalan Masjid India, di sini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat berkata, setiap anggota berkenaan ditugaskan secara berpasangan atau buddy bagi memeriksa lurang kumbahan berkenaan.

Kata beliau, bagi proses itu, mereka berada selama 20 minit bagi setiap kawasan lurang kumbahan untuk melakukan pemeriksaan sama ada terdapat mangsa di dalamnya.

“Pasukan skuba masuk ke dalam lurang dengan menggunakan kaedah buddy iaitu antara dua atau tiga anggota dalam satu-satu masa.

“Cabaran dihadapi adalah perlu masuk ke dalam ruang yang sempit selain arus deras dan keadaan udara yang berisiko,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wang, Asisten Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya tidak menghalang peniaga untuk meneruskan aktiviti perniagaan mereka.

“Namun, kita minta mereka menutup sementara operasi perniagaan ketika proses mencari di enam lurang kumbahan itu dilakukan.

“Kita bukan arah untuk tutup sepenuhnya, apabila operasi pencarian (di lurang kumbahan) itu selesai, peniaga boleh meneruskan operasi mereka, kita tidak ganggu perniagaan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN