KUALA LUMPUR: “Plaintif (Syamsul) sudah bersedia untuk lafaz cerai tetapi defendan (Ira) tidak hadir.”
Itu makluman yang diberikan oleh peguam syarie, Azmi Rais pada sebutan kali pertama permohonan Syamsul untuk bercerai dengan izin mahkamah.
Permohonan itu difailkan pada 19 Ogos lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor.
Selain itu, Azmi memberitahu, Ira atau nama penuhnya Faghirah Fatini Kazaruddin telah melantik peguam syarie untuk mewakilinya dalam kes itu.
“Difahamkan defendan telah melantik peguam dan saya dimaklumkan malam tadi oleh peguamnya yang Ira tidak akan hadir hari ini. Disebabkan itu, saya juga menasihatkan plaintif untuk tidak hadir walaupun plaintif sudah bersedia untuk lafaz cerai pada Ira.
“Saya tidak pasti Ira setuju dengan permohonan perceraian ini kerana dia telah melantik peguam, oleh itu saya mohon mahkamah tetapkan tarikh lain untuk dapatkan penjelasan (sama ada Ira setuju bercerai atau sebaliknya,” ujar Azmi.
Pembantu perundangan, Ahmad Fuad Borhan yang hadir bagi pihak peguam syarie, Muhammad Fadhil Abd. Razak yang mewakili Ira mengesahkan pelantikan itu.
“Kami telah failkan wakalah (surat lantikan peguam) tengah hari tadi beserta notis pemakluman kepada peguam plaintif,” katanya.
Hakim syarie, Maizatul Aliza Chee Din menetapkan sebutan semula permohonan cerai itu pada 25 September ini.
Syamsul dan Ira atau nama penuhnya, Faghirah Fatini Kazaruddin yang juga anak kepada pelakon Kazar Saisi bernikah di Selatan Thailand pada 6 Januari 2023.
Berita pernikahan itu disahkan Syamsul sendiri menerusi video yang dimuat naik dalam akaun laman sosial Instagram miliknya.
Pernikahan itu kemudian didaftarkan di Perlis pada 20 Januari tahun sama.
Pada ketika itu, Syamsul masih merupakan suami kepada pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin yang dinikahinya pada 8 Mac 2014. Mereka bercerai pada 14 Jun 2023.
Syamsul dan Puteri Sarah Liyana dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam dan Sumayyah. – UTUSAN