Sultan Nazrin rai bekas anggota keselamatan sempena Hari Kebangsaan - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin rai bekas anggota keselamatan sempena Hari Kebangsaan

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan Sumbangan Wira Negara kepada pesara PDRM, Mustafa Zainal, 69, dalam majlis meraikan bekas anggota keselamatan dan penyelamat negara sempena sambutan Hari Kebangsaan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada 10 bekas anggota keselamatan dan penyelamat negara sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini sebagai mengenang jasa bakti mereka.

Penerima Sumbangan Wira Negara Peringkat Negeri Perak itu terdiri daripada pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba).

Jumlah Sumbangan Wira Negara adalah RM1,000 berserta plak sijil dan penyampaian itu dilakukan dalam Majlis Jamuan Teh dan Penyampaian Hadiah sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2024 yang diadakan di Dewan Bandaran Ipoh di sini hari ini.

Pesara ATM yang menerima sumbangan Wira Negara ialah Musa Abdul Manaf, 64 tahun; Mohd. Yusof Kamaruddin, 71 tahun; Mohd. Nadzari Din, 70 tahun dan Selva Kumar a/l Saimon, 69 tahun.

Musa Abdul berkhidmat 21 tahun, terkena jerangkap samar semasa operasi di Durian Burung, Kedah yang mengakibatkan kehilangan mata sebelah kiri, dan Mohd. Yusof (perkhidmatan 21 tahun) terlibat kemalangan jalan raya semasa Operasi Gonzales sehingga terputus kaki kanan.

Mohd. Nadzari (perkhidmatan 22 tahun) terpijak jerangkap samar semasa operasi di Thailand sehingga terputus kaki kanan, manakala Selva Kumar (perkhidmatan 22 tahun) terkena tembakan musuh semasa Operasi Oya di Sibu, Sarawak dan tercedera kaki kiri.

Pesara Bomba, Dollah Samino Koromo, 64 tahun dan berkhidmat 36 tahun, terlibat dalam operasi kebakaran kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Inderapura di Lumut pada tahun 1999 serta operasi menyelamat kemalangan bas ekpres yang terhumban ke dalam gaung di Bukit Gantang pada tahun 2008.

Pesara PDRM yang menerima sumbangan Wira Negara ialah Uda Naguib Abdullah, 82 tahun; Abdul Aziz Alam Din, 89 tahun; Syed Isa Syed Idris, 68 tahun; Mustafa Zainal, 69 tahun dan Nordin Mat, 77 tahun.

Uda Naguib berkhidmat 37 tahun terlibat membanteras komunis di Hulu Perak serta Kelantan; manakala Abdul Aziz yang berkhidmat 36 tahun, berjaya membunuh empat pengganas komunis sewaktu operasi di Papan, Perak.

Syed Isa berkhidmat 40 tahun terlibat kemalangan jalan raya sewaktu menerima panggilan berhubung kekacauan di Lumut. Kemalangan itu menyebabkan beliau terpaksa menjalani pembedahan menanam besi di bahagian tercedera tulang tumit kiri hancur yang sehingga kini menganggu kesihatan beliau.

Mustafa berkhidmat 38 tahun mengalami kecederaan tembus pipi kanan akibat terkena serpihan bom tangan yang dilemparkan oleh pengganas komunis semasa pertempuran dalam Ops Catfish di Ulu Kuang, Sungai Siput pada tahun 1981.

Nordin berkhidmat 36 tahun tercedera di pelipat siku tangan kiri kerana serpihan besi kelopak dan mengalami kecacatan ketika bertempur dengan pengganas komunis dalam Ops Bamboo pada tahun 1973 di Hulu Perak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN