TANGGAL 22 Februari 1992 memahat sejarah duka untuk dunia seni apabila perginya penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Sudirman Haji Arshad menemui Pencipta.
Pemergian Allahyarham amat dirasakan, sementelah beliau disifatkan sebagai anak seni yang bukan sahaja dekat dengan peminatnya, malah masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Sudirman meninggalkan legasi muzik yang cukup besar. Lagu-lagunya, yang merentasi zaman, terus menjadi siulan sampai ke titik ini. Malah, Sudirman kekal dikenang sebagai figura yang banyak berjasa kepada dunia hiburan tempatan.
Salam Terakhir, Merisik Khabar dan 31 Ogos antara mahakarya yang ‘hidup’ sehingga kini.
Generasi hari ini mungkin tidak mengetahui di sebalik kejayaan yang dikecapi arwah, tersimpan cerita-cerita duka dan kepayahan yang terpaksa beliau harungi ketika zaman kegemilangannya dulu.
Pemuzik bertaraf legenda, Michael Veerapen, 67, antara saksi hidup yang melihat kesukaran dilalui penghibur disegani itu dalam mencipta revolusi dan perubahan kepada dunia muzik tempatan.
“Sudirman melalui jalan sukar kerana ramai yang skeptikal terhadap kejayaannya dan berusaha menjatuhkannya kerana dia cuba membawa kelainan dan arus perubahan.
“Kritikan yang diterima beliau wujud sejak beliau memulakan kariernya lagi. Pelbagai tohmahan diterimanya, hanya disebabkan Sudirman mahu menjadi penghibur yang berlainan.
“Allahyarham terperangkap dalam komuniti yang tidak membenarkan beliau untuk menjadi berbeza.
“Pada saya jiwanya kental, semangatnya tinggi kerana bukan mudah untuk berdepan dengan apa yang dilaluinya ketika itu,” katanya.
Kata Michael, Sudirman bukan sekadar penghibur, malah Allahyarham adalah pencipta revolusi yang membuka banyak pintu kepada artis sekarang.
“Dia berbeza, berani meruntuhkan tembok kebiasaan selain merubah persepsi mengenai bidang muzik.
“Dan saya berani kata, beliau adalah pembuka laluan kepada ramai penyanyi hebat hari ini. Datuk Sheila Majid, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Zainal Abidin dan ramai lagi harus berterima kasih kepada Sudirman,” jelasnya.
Penyanyi tersohor, Liza Aziz sempat berkongsi pengalaman manis bergelar penyanyi latar untuk konsert bersejarah Allahyarham Sudirman di Chow Kit, Kuala Lumpur circa tahun 1986.
Kongsi Liza, konsert tersebut menjadi satu pembuktian, Sudirman penghibur kesayangan yang disanjungi masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Saya masih dapat mengenang betapa luar biasanya konsert tersebut, dengan kehadiran lautan masyarakat berbilang kaum yang memenuhi sepanjang jalan di Chow Kit.
“Ia pengalaman luar biasa. Sempat Allahyarham sebelum itu meluahkan kerisauannya kepada saya kalau tiada siapa yang nak datang dan tengok konsert tersebut. Hakikatnya, yang saya nampak adalah lautan manusia yang memenuhi sehingga ke Dataran Merdeka,” kongsinya.
WAJAH ARWAH BERSERI
“Saya beruntung, kerana berpeluang hadir ke majlis pengebumian Sudirman.”
Demikian perkongsian wartawan berpengalaman, Khadijah Ibrahim yang juga peminat tegar Allahyarham Sudirman.
Khadijah, yang ketika itu berkhidmat sebagai wartawan untuk majalah Bacaria, mengenang momen penting ketika hadir ke pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Kamping Chengal, Temerloh, Pahang bersama jurugambar, Mazin.
“Saya sempat melihat jenazah Allahyarham yang kelihatan kurus namun wajahnya bersih dan berseri.
“Satu perkara yang meninggalkan persoalan ketika itu adalah apabila jenazah arwah dibawa menaiki lori ke tanah perkuburan, mungkin itu tradisi yang diamalkan orang dulu-dulu di kampung tersebut,” kongsinya.
Jelas Khadijah lagi, dia bersyukur kerana berpeluang menatap wajah penyanyi kesayangannya buat kali terakhir.
Khadijah menganggap pengalaman itu sebagai momen istimewa disebabkan dia tidak pernah bersua muka dengan Allahyarham sewaktu hayatnya.
“Ramai hadir memberikan penghormatan terkahir kepada arwah, kebanyakkannya penduduk tempatan, peminat dan wartawan.
“Saya memang peminat arwah dan sering menantikan persembahannya di kaca televisyen.
“Jadi apabila berpeluang menatap wajahnya memberi penghormatan akhir, saya bersyukur” kongsinya.