KUALA LUMPUR: “Nama keluarga, reputasi saya tercalar. Saya dituduh mahu bolot harta.”
Berikut luahan anak bintang legenda Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin, Putera Hang Jebat mengenai tuduhan memalsukan surat pindah milik tanah dan melakukan penipuan yang dilayangkan kepadanya oleh dua adik beradik tirinya, Jeffrey dan Hang Tuah Jins Shamsuddin.
“Sebetulnya, tanah itu, telah diserahkan kepada saya sejak 2012 lagi. Tapi saya dituduh menipu.
“Tuduhan ini menjejaskan nama baik saya dan keluarga, terutamanya ibu saya yang berdepan cacian dan penghinaan. Ramai yang bercakap dan bertanyakan hal ini kepada dia.
“Sebenarnya, sudah lama kami hadap cacian orang gara-gara fitnah ini. Hanya apabila mahkamah membuat keputusan, barulah kami ceritakan apa yang kami lalui.
“Memang saya marah kerana diperlakukan sebegini. Saya berlapang dada, tetapi untuk memaafkan, setakat ini belum lagi,” kata Hang Jebat dalam sidang media yang diadakan semalam.
Hang Jebat dalam sidang media itu ditemani peguam, AmirFarid Nawawi.
Hang Jebat, pada Januari 2019, berdepan saman sivil yang difailkan adik beradik tirinya, Jeffrey dan Hang Tuah di Mahkamah Tinggi berkenaan pertikaian sebidang tanah berkeluasan 0.265 hektar di Kampong Pasir, Gombak milik bapa mereka, Allahyarham Jins Shamsuddin.
Menerusi saman itu, dua individu berkenaan menuntut surat kuasa wakil yang ditandatangani Allahyarham pada Oktober 2013, untuk memberi kuasa kepada Hang Jebat bagi menjual tanah tersebut, sebagai tidak sah, justeru penjualan hartanah itu juga tidak sah.
Hang Jebat selaku defendan telah memfailkan bantahan terhadap tuntutan Jeffrey dan Hang Tuah atas alasan dua individu berkenaan tidak layak disebabkan mereka tidak memiliki surat kuasa mentadbir harta si mati.
Bantahan tersebut bagaimanapun ditolak Mahkamah Tinggi dan pada masa yang sama, plaintif diarahkan supaya meminda tuntutan agar hartanah itu dipulangkan sebagai harta pusaka.
Perbicaraan mengenai tuntutan itu bermula pada Ogos dan September 2022. Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada 5 Januari 2023 telah menolak tuntutan plaintif, dan mengekalkan kesahihan surat kuasa wakil yang ditandatangani Allahyarham.
Plaintif yang terkilan dengan keputusan itu, memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya. Rayuan mereka bagaimanapun, ditolak.
Hang Jebat, pada masa yang sama meluahkan rasa lega apabila keputusan pertikaian yang berlarutan lima tahun itu akhirnya berpihak kepadanya.
“Pelbagai persepsi saya dan keluarga terima sepanjang lima tahun kes ini berlanjutan. Akhirnya kebenaran terbukti berpihak kepada saya.
“Kalau saya dikatakan tamak, kenapa saya hanya miliki surat kuasa wakil (PA) untuk satu tanah sahaja. Kenapa tidak saya PA semua harta Allahyarham?
“Yang kata saya nak bolot harta adalah tuduhan tidak berasas. Hanya satu tanah sahaja yang Allahyarham serah kepada saya.
Selebihnya masih ada harta arwah yang boleh difaraidkan,” kata Hang Jebat.
AmirFarid dalam pada itu memaklumkan plaintif sepatutnya menghormati keputusan mahkamah dan tidak membuat apa-apa dakwaan yang boleh mencemar nama baik anak guamnya.
“Saya diwakilkan anak guam untuk menafikan tuntutan kononnya anak guam saya memalsukan surat dan melakukan penipuan.
“Perkara ini berlegar di media, menjatuhkan reputasi anak guam dan tidak adil untuk Allahyarham.
“Keputusan mahkamah telah menetapkan tiada langsung penipuan atau pemalsuan dilakukan anak guam saya.
“Penjualan hartanah itu adalah sah dan tidak terbatal,” kongsinya.
Allahyarham Jins Shamsuddin menghembuskan nafas terakhir pada 1 Mac 2017.
Bintang legenda itu dikurniakan empat anak iaitu Jeffrey, hasil perkongsian hidup dengan pelakon Rahmah Rahmat dan Hang Tuah hasil perkahwinan dengan Jamilah Shukor.
Jebat dan adiknya, Putera Hang Nadim pula hasil perkahwinan Jins dengan Halijah.