PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan pembabitan seorang ahli politik di negara ini yang dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki secara ringkas.
“Kita akan menjalankan siasatan” katanya di sini, hari ini.
Semalam, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) meminta SPRM menyiasat seorang ahli politik di negara ini yang didakwa terbabit sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata, modus operandi sindiket ini adalah memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan yang menarik sebelum memaksanya bekerja sebagai scammer judi secara dalam talian.
Dia berkata, ahli politik wanita itu adalah bekas ahli Parlimen manakala suaminya pesara kerajaan.
Katanya, baru-baru ini tular satu video di media sosial pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar bertajuk Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia yang diterbitkan di Indonesia.
Difahamkan ahli politik itu terbabit dalam sindiket berkenaan sejak Mac 2020 dan tular di media sosial baru-baru ini.
Sementara itu, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim menafikan terbabit dalam aktiviti sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar seperti dilaporkan media semalam.
Menurutnya, maklumat berkenaan dikutip daripada media picisan di Indonesia.
Sehubungan itu, beliau sudah membuat laporan dan memberi keterangan di Bukit Aman semalam berkaitan tuduhan liar beberapa pihak seperti MHO. – UTUSAN