PETALING JAYA: Lebih 46 pegawai penguatkuasa yang bertugas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, dikesan bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menerusi modus operandi ‘counter setting’.
Tindakan itu dikesan menerusi Op Pump yang dijalankan SPRM baru-baru ini yang mendapati kesemua penguat kuasa terbabit membawa masuk pekerja asing melalui kaunter-kaunter tertentu bagi memudahkan laluan masuk tanpa pemeriksaan yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, terdapat keterangan yang menunjukkan wujudnya unsur rasuah dan subahat dengan pihak ejen.
“Keadaan ini menyebabkan warga asing ini dapat memasuki negara dengan mudah sebagai pelancong dan kemudian hilang, disyaki bekerja tanpa dokumen,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Azam berkata, seramai 13 individu termasuk dua penguatkuasa ditahan di KLIA kerana dipercayai terbabit rasuah melibatkan sindiket yang menggunakan modus operandi sama.
Jelas beliau, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 50-an ditahan hari ini dalam operasi di sekitar Lembah Klang dan dibawa ke pejabat SPRM Kuala Lumpur untuk membantu siasatan.
“Dua suspek penguatkuasa tersebut disyaki terlibat dengan perbuatan itu sejak 2016 dengan menerima bayaran antara RM300 sehingga RM2,500 untuk setiap warga asing yang masuk mengikut kewarganegaraan.
“Turut ditahan sembilan ejen dan dua proksi yang menjadi pemegang aset bagi pihak suspek penguatkuasa,” jelasnya.
Tambah beliau, pasukan khas telah ditubuhkan untuk merakam percakapan pegawai-pegawai penguatkuasa yang disyaki bagi membantu siasatan dan tidak menolak kemungkinan akan ada tindakan susulan serta tangkapan lain dalam masa terdekat.
Hasil serbuan juga turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM50,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok bagi permohonan reman,” katanya. – UTUSAN