SMK Aminuddin Baki lancar Bulan Kebangsaan

Sambutan Pelancaran bulan Kebangsaan SMK Aminuddin Baki meriah

PELAJAR SMK Aminuddin Baki, Chemor meraikan hari pelancaran sambutan Bulan Kemerdekaan di sekolah tersebut baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERAMAI 650 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Chemor menyertai pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan anjuran Kelab Malaysiaku sekolah berkenaan dan Pejabat Penerangan Daerah Kinta di sekolah itu di Ipoh baru-baru ini.

Antara pengisian program tersebut termasuklah antaranya bacaan lafaz ikrar Rukun Negara, persembahan sajak oleh murid Pendidikan Khas, nyanyian lagu Patriotik, kuiz kenegaraan dan penyerahan Jalur Gemilang.

Pegawai Penerangan Daerah Kinta, Nurul Azirah Mohd. Yunus yang merasmikan program tersebut berkata, program tersebut bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

“Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang ini harus dimulakan dari sekolah sebagai tanda atau simbolik membina generasi muda yang cintakan negara.

“Minda pelajar perlu disemai dengan semangat patriotik terutama pada bulan Kebangsaan sejajar dengan Malaysia MADANI Jiwa Merdeka,” katanya.

Beliau juga menyeru pelajar menyahut saranan kerajaan agar Jalur Gemilang dikibarkan di setiap kediaman sejajar dengan inisiatif kerajaan ‘Satu Rumah Satu Bendera’.

“Secara tidak langsung, ia satu galakan bagi pelajar untuk mengibarkan Jalur Gemilang di rumah dapat menyemarakkan lagi sambutan bulan kebangsaan selain memupuk semangat patriotisme yang tinggi,” katanya.

 

 

 

 

Sementara itu, Pengetua SMK Aminuddin Baki, Mastura Kahan Saaib berkata, program-program seperti itu penting bagi pelajar untuk terus memperingati perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan.

“Secara tidak langsung, program ini dapat memberi pendedahan kepada generasi baharu tentang perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan negara kita,” katanya.

 

Ujarnya, tarikh cuti sekolah, ujian penggal termasuk ujian percubaan SPM membuatkan para pelajar dan guru-guru tidak dapat membuat persediaan sepenuhnya untuk program dalam bulan kemerdekaan ini.

Katanya, terdapat beberapa pertandingan yang akan berlangsung, antaranya, pertandingaan menghias bendera, pertandingan poster, pertandingan mewarna dan pertandingan menghias kelas.

“Tempoh pertandingan berlangsung dalam masa tiga minggu.

“Pertandingan menghias payung akan disertai oleh pelajar tingkatan satu dan tingkatan dua manakala pertandingan lain akan disertai oleh pelajar menengah atas,” katanya.

Menurut beliau, sekolah bukan sekadar tempat untuk melahirkan pelajar yang cemerlang akademik namun ia merupakan tempat untuk memupuk semangat cintakan negara temasuk mengeratkan perpaduan antara kaum.

“Kita harap tahun hadapan, sambutan seperti ini dapat diadakan lagi dengan lebih meriah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN