ARAU: Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah dengan inisiatif guru dan ibu bapa menghasilkan wau bersaiz gergasi bersempena sambutan kemerdekaan peringkat sekolah tersebut.
Wau bersaiz 5×4 meter itu mengambil masa kira-kira dua minggu dihasilkan dan dipamerkan di pintu masuk hadapan sekolah berkenaan bersempena bulan kemerdekaan ini.
Guru Besar SK Kubang Gajah, Mohd Nadzri Jaafar berkata, signifikan penghasilan wau itu adalah bagi mengenang kembali permainan-permainan tradisional yang sememangnya sinonim sebelum kemerdekaan negara ini.
“Kita nak hidupkan kembali permainan tradisional ini malah ramai diantara anak-anak masa kini tidak mengenali dan mengetahui cara penghasilan wau.
“Dengan langkah ini, ia sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan kepada murid-murid tentang permainan tradisional yang terkenal suatu ketika dahulu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Mohd Nadzri, bersempena bulan kemerdekaan, pihak sekolah turut menganjurkan pelbagai aktiviti menarik buat murid-murid dalam menyemarakkan sambutan berkenaan.
Menurutnya, antara aktiviti yang dilaksanakan adalah seperti pertandingan sajak, busana, melukis poster, TikTok Merdeka dan lain-lain.
“Selain itu, kami turut menganjurkan perarakan murid-murid ke Kampung Kubang Gajah dan Kampung Alor Ara bersempena kemerdekaan ini. Malah, murid-murid turut berkesempatan beramah mesra dengan penduduk di samping mengeratkan ukhwah antara satu sama lain,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kubang Gajah, Hazalan Haron berkata, penghasilan wau berkenaan adalah merupakan hasil perbincangan antara pihaknya dan pengurusan sekolah dalam usaha bagi mencari kelainan buat murid-murid.
Katanya, wau berkenaan dihasilkan dengan pemantauan oleh AJK PIBG, Ab Rahim Othman, 64, yang berpengetahuan luas dalam penghasilan permainan tradisional itu.
“Pihak PIBG sentiasa memberi komitmen dan menyokong pengurusan sekolah dalam melaksanakan program berimpak tinggi buat murid-murid,” katanya.-UTUSAN