KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi satu-satunya artis solo perempuan yang bakal tampil di acara Hausboom Music Festival 2024.
Siti merupakan salah seorang daripada 32 artis popular lain yang bakal memeriahkan festival muzik lokal terbesar Malaysia pada 5 Oktober depan.
“Sebenarnya saya sudah dua kali bekerjasama dengan anak-anak muda ini dalam acara Bulan Bintang.
“Menjadi artis jemputan di acara sebegini tidak perlukan banyak komitmen, ia bukan macam konsert solo. Kebetulan, jadual saya ketika itu juga mengizikankan saya bersama Hausboom,” katanya.
Siti ditemui Utusan Malaysia di sidang media Hausboom Music Festival 2024 di Khan’s Indian Cuisine, di sini, petang tadi.
Bercerita lanjut mengenai persembahan di festival itu, Siti bakal tampil dengan persembahan muzik tradisional atas pemintaan penaja.
“Permintaan mereka mahukan saya tampil dengan persembahan lagu tradisional.
“Saya percaya ramai artis lain yang dapat pemintaan tinggi daripada peminat Hausboom, tapi mungkin saya ada kelebihan dari segi muzik tradisional.
“Sebab itu mereka pilih saya bagi menambah kepelbagaian untuk festival muzik kali ini.
“Di festival ini nanti pun semuanya kawan-kawan saya dan kebanyakannya saya kenal seperti pelawak Senario, Datuk Zainal Abidin, Abang Ajai, Datuk Awie dan sebagainya,” jelasnya.
Bakal berlangsung di KL Base pada tanggal 5 dan 6 Oktober ini, Hausboom bakal menghimpunkan 32 artis dari Malaysia dan Indonesia yang kebanyakannya dipilih melalui undian di platform media sosial.
Nama-nama yang bakal mewarnai pentas Hausboom Music Festival 2024 adalah seperti kumpulan Wings, Ruffedge, Datuk Zainal Abidin, Masdo, Iqbal M, Joe Flizzow, Luqman Podolski, No Good, Orkes A Hizadin, Akim & The Majistret, Amir Masdi, dan lain-lain.