“ADA yang berkawan dengan saya sebab marketing, benda itu jijik.”
Demikian luahan penyanyi dan pelakon, Alvn, semasa menceritakan mesej dalam album terbaharunya, Between The Lines yang penuh kesedihan.
Alvn atau Alvin Chong mengakui banyak yang terjadi kepadanya sepanjang 12 tahun berada dalam industri hiburan. Daripada momen dipergunakan, rasa sunyi, kehilangan dan kepayahan mendapatkan cinta sejati seolah-olah ‘ditelanjangkan’ Alvn dalam muziknya.
Bukanlah seorang yang rajin menulis diari, jejaka 33 tahun ini mengakui muzik adalah satu-satunya cara meluahkan apa yang terbuku di hati. Daripada lapan lagu dalam album ini, Alvn menulis lima karya dengan kolaborasi bersama penerbit muzik antarabangsa seperti Hyuk Shin, Zayson, Wade Hampton, Jason Gelchen dan Zain.
“Selalunya artis akan pilih satu penerbit lagu sahaja, tapi saya bekerjasama dengan ramai orang kerana inginkan sentuhan daripada gaya dan cita rasa yang pelbagai.
Jika anda dengar keseluruhan album ini, mana yang sedih, semuanya saya yang tulis. Walaupun ramai yang menyukai saya sebagai pelakon, tapi saya tetap merasakan muzik adalah sebahagian daripada diri saya.
“Saya sedar, taruhan dan perjalanan album ini akan sangat panjang memandangkan sukar untuk jual album bahasa Inggeris di Malaysia. Namun, saya mahu mencuba. Muzik adalah satu-satunya cara untuk orang mengenali siapa sebenarnya seorang Alvn,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tidak berniat menyembunyikan perasaan, Alvn mengakui banyak menyimpan kekecewaan. Katanya, sehingga kini dia sukar mendapatkan kawan dalam industri hiburan kerana sering dimanipulasi.
“Saya pernah ada kenalan dalam industri yang baik dan rapat, tapi tiba-tiba hilang dari radar. Kalau jumpa pun tidak layan. Saya tidak faham kenapa.
“Selain itu ada juga semasa penggambaran kami sangat rapat, tapi selepas itu hilang. Semuanya terasa sangat sementara. Mungkin mereka gunakan saya untuk tujuan promosi. Tapi saya tidak mahu publisiti seperti itu,” katanya.
Tidak bertuah dalam cinta
Tidak hanya kurang bernasib baik dalam persahabatan, Alvn mengakui dirinya menghadapi nasib serupa dalam percintaan.
Walaupun tidak mendedahkan siapakah individu yang pernah mencuri hatinya, namun artis kelahiran Kelantan itu makan hati kerana hubungan yang dijalin hanya bertahan beberapa bulan sahaja.
“Bila nampak orang lain dan rakan terdekat ada yang bercinta, berkahwin dan punya anak, saya juga mahu hubungan seperti itu.
“Tapi setiap kali saya cuba bercinta, mesti hubungan itu tidak kekal. Paling lama pun setahun. Tapi kebanyakannya hanya bertahan empat hingga enam bulan sahaja.
“Tidak tipu, saya mula persoalkan semua ini dan terfikir kenapalah sukar sangat untuk saya berada mencari cinta sedangkan orang lain mudah sahaja,” katanya.
Kali terakhir pelakon Dia Semanis Honey itu berkongsi karya muzik adalah pada 2018 menerusi We Got This. Ditanya dimanakah titik kematangan dan hala tuju seorang Alvn sebagai penghibur dengan jenama diri yang baharu, pelakon itu mengakui sehingga kini dia masih mencari identiti muziknya.
“Saya sendiri masih belajar genre muzik serta rentak yang sesuai. Sebagai penyanyi, saya masih mencari muzik saya sendiri sama ada mahu bawakan genre slow rock, indie atau EDM.
“Saya mahu album Between The Lines keluar tahun ini juga supaya dapat buat showcase pada 2025,” jelasnya.