Sindiket tawar urusan imigresen dengan harga RM500 tumpas

Sindiket tawar urusan imigresen dengan harga RM500 tumpas

JAFRI Embok menunjukkan pasport yang dirampas pada sidang akhbar di Putrajaya. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Satu sindiket ejen haram yang menawarkan pelbagai urusan imigresen kepada warga asing dengan bayaran RM500 bagi setiap perkhidmatan tumpas apabila dicekup dalam operasi khas di sekitar ibu negara semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, operasi itu dilaksanakan menerusi maklumat risikan yang dibuat selama dua minggu melibatkan serbuan di sekitar Bandar Menjalara, Jalan Medan Tuanku, Jalan Tiong Nam dan Jalan Cheras.

“Dalam serbuan itu, Imigresen berjaya menahan seramai 13 orang masing-masing 11 lelaki warga Bangladesh, seorang rakyat India dan seorang wanita Malaysia.

“Kesemua suspek berusia 33 tahun hingga 53 tahun dengan modus operandi mereka dikesan menawar perkhidmatan berkaitan pasport dan pas kepada rakyat asing,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kesemua suspek dikesan menawarkan perkhidmatan imigresen seperti penawaran Pas Lawatan Sosial, Pas Lawatan Kerja Sementara, Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 dan visa dengan bayaran RM500 bagi setiap transaksi.

Mengulas lanjut, katanya, semakan awal mendapati tiga lelaki Bangladesh dan seorang lelaki India memiliki pas yang masih sah laku, namun dua lagi lelaki Bangladesh tinggal lebih masa.

“Baki enam lagi lelaki rakyat Bangladesh langsung tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk mereka boleh berada di negara ini.

“Kami turut menyita sejumlah 530 naskhah pasport dengan paling banyak ialah 414 dari Bangladesh diikuti India (57), Indonesia (36) dan Myanmar (sembilan),” jelasnya.

Selebihnya pula ialah tujuh naskhah pasport Pakistan selain empat Sri Lanka serta masing-masing satu meliputi Filipina, Nepal dan Malaysia.

Turut disita kata beliau, ialah wang tunai berjumlah RM13,900, kad perniagaan dan kad pendaftaran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan serta tiga keping sijil kelahiran.

Kesemua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil kerana disyaki membuat kesalahan mengikut Seksyen 6(3) dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/1963. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN