Sindiket seleweng minyak masak subsidi bernilai RM20 juta tumpas

Sindiket seleweng minyak masak subsidi bernilai RM20 juta tumpas

AZMAN Adam pada sidang akhbar berhubung sindiket rantaian penyelewangan minyak masak di Ibu pejabat KPDN, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi menerusi serbuan Op Tiris 3.0 yang dijalankan di beberapa premis di sekitar Perak, Selangor dan Johor pada 9 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Penguatkuasanya, Datuk Azman Adam berkata, serbuan ke atas syarikat pengilang, pembungkusan dan pemborong minyak masak itu dibuat menerusi operasi bersepadu melibatkan KPDN Putrajaya dan negeri setelah risikan selama beberapa bulan dilakukan.

“Modus operandi sindiket ini adalah melibatkan proses penghantaran minyak masak bersubsidi yang sepatutnya dilakukan oleh pengilang minyak masak yang beroperasi di Ipoh, Perak ke tiga syarikat pembungkusan minyak masak (repackers) di negeri sama.

“Namun penghantaran tersebut sebaliknya tidak berlaku, tetapi dihantar ke syarikat-syarikat pemborong minyak masak di Selangor dan Johor dalam kuantiti tertentu,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Kata Azman, minyak masak bersubsidi terbabit sebahagiannya dikumpulkan di syarikat pemborong di Selangor, manakala selebihnya dikumpulkan di sebuah syarikat pemborong minyak masak di Johor.

Katanya, tindakan itu dibuat sebelum dibungkuskan semula menggunakan bungkusan minyak masak botol dan dijual di pasaran mengikut harga minyak masak botol bukan bersubsidi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, nilai keseluruhan ketirisan subsidi minyak masak menerusi operasi ini dianggarkan mencecah sehingga RM20 juta.

Katanya, selain minyak masak, sitaan turut dilakukan ke atas beberapa dokumen perniagaan lain seperti invois belian dan jualan, dokumen tuntutan subsidi minyak masak di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS).

Turut dirampas beberapa peralatan dan kenderaan yang digunakan dalam aktiviti haram ini.

“Setakat ini, dua lelaki warga tempatan berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Kedua-dua individu terbabit merupakan pekerja di syarikat pemborong minyak masak di Johor,” ujarnya.

Susulan serbuan yang dijalankan, KPDN bertindak menggantung lesen yang diberikan kepada ketiga-tiga syarikat pembungkusan terbabit bagi membendung ketirisan daripada terus berlaku, selain mengelak kerajaan daripada terus menanggung kerugian.

“Mereka sebenarnya telah mendapat lesen untuk membungkus minyak masak sejak 2022 dengan diberikan jumlah kuota sebanyak 550 tan metrik sebulan,” jelasnya.

Beliau berkata, siasatan lanjut membabitkan kes itu dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti haram itu, serta rantaian pengedaran minyak masak berkenaan.

Jelasnya, syarikat juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].

Ia melibatkan kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak masak.

“Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun. Bagi syarikat, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta, manakala RM5 juta jika kesalahan berulang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Azman berkata, secara keseluruhan sebanyak 28,387 pemeriksaan telah dijalankan bermula 1 Januari sehingga 18 Ogos lalu menerusi Op Tiris 3.0, dengan 16,258 daripadanya membabitkan pemeriksaan ke atas komoditi minyak masak.

Katanya lagi, sebanyak 1,946 kes berjaya dikesan sepanjang pemeriksaan dijalankan dengan 318 kes melibatkan penyelewengan minyak masak yang dianggarkan bernilai RM1.69 juta bagi rampasan barang kawalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN