Sindiket edar syabu, pil ekstasi bernilai RM2.6 juta tumpas

Sindiket edar syabu, pil ekstasi bernilai RM2.6 juta tumpas

DADAH jenis syabu dan pil ekstasi bernilai RM2.6 juta yang dirampas dalam serbuan di Sabak Bernam, Selangor pada 8 Ogos lalu. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang lelaki tempatan ditahan bersama 50 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan 6 kg pil ekstasi bernilai keseluruhan RM2.6 juta dalam serbuan di Sabak Bernam, 8 Ogos lalu.

Dalam serbuan itu, suspek berusia 40 tahun itu telah berkahwin, tidak bekerja dan mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan dan rampasan itu sekali gus berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan pil ekstasi di daerah Sabak Bernam.

Beliau berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 pagi itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah Sabak Bernam menemukan 50 bungkusan warna biru dan hijau bertulis Chinese Pin Wei berisi syabu dan ekstasi dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine. Siasatan mendapati, dadah dipercayai untuk edaran ke negara jiran.

“Saspek kini ditahan reman selama enam hari mengikut Seksyen 447 Kanun Tatacara Jenayah dari 8 hingga 13 Ogos ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, siasatan mendapati, suspek kemungkinan adalah ‘transporter’ (keldai dadah) dan dibayar RM2,800 sebagai upah bagi setiap penghantaran.

Hussein berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Menurutnya, syabu sebanyak 50 kg yang dirampas itu jika dibiarkan terlepas boleh dibekalkan kepada 100,000 orang pengguna dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.5 gram.

“Manakala, pil ekstasi sebanyak 6 kg itu pula boleh dibekalkan kepada 20,000 orang pengguna dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.3 gram,” katanya.

Katanya, suspek ditahan selepas kali kedua melakukan penghantaran dadah dan beroperasi sejak enam bulan lalu.

Susulan tangkapan sama, Hussein berkata, polis turut menahan seorang lelaki dan seorang wanita warganegara Indonesia berusia lingkungan 30 tahun bagi membantu siasatan kes sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya