Wong Siew Ki kenal pasti potensi, masalah DUN Seri Kembangan

Siew Ki kenal pasti potensi, masalah DUN Seri Kembangan

SIEW Ki menyantuni pelajar ketika mengadakan lawatan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAYA bersahaja dan mesra serta sentiasa tersenyum pasti membuatkan sesiapa sahaja mudah berdamping dengan individu berperwatakan sedemikian. Apatah lagi sekiranya individu itu pemimpin sebagaimana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki.

Beliau yang baru sepenggal memegang jawatan DUN di kawasan berkenaan, melayani dan menyantuni masyarakat di situ tanpa mengira latar belakang dan bangsa serta agama. Tidak hairanlah beliau disenangi pelbagai pihak. Malah, bekas graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) ini sanggup bekerja lebih masa demi mendengar suara rakyat.

“Saya akan memperuntukkan dua jam setiap hari Rabu malam iaitu dari pukul 8 sehingga 10 malam untuk penduduk mengadu masalah mereka.

“Aduan yang diterima pula pelbagai dan tidak hanya terhad isu setempat atau berkaitan komunti sebaliknya turut berkaitan perkara lain seperti tanah, undang-undang serta pekerjaan,”katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Memenangi kerusi DUN Seri Kembangan dengan majoriti 36,160, Siew Ki melihat Seri Kembangan berpotensi dalam aspek pelancongan yang mampu memberi pulangan sama ada kepada ekonomi negeri dan juga penduduk.

Menurutnya, beberapa kawasan berpotensi telah dikenal pasti untuk dibangunkan terutama menjelang Tahun Melawat Selangor 2025.

“Dalam kawasan DUN ini, terdapat tempat bersejarah dengan mempunyai budaya menarik. Salah satunya Kampung Baru Seri Kembangan yang merupakan antara kampung terbesar di Malaysia dengan mengangkat pelbagai budaya serta tradisi Hakka. Selain itu, terdapat muzium orang Cina dengan teknologi tiga dimensi (3D) dan muzium Orang Melayu serta tempat tertentu berkonsepkan eko pelancongan di beberapa kawasan berhampiran DUN Seri Kembangan,” ujarnya.

Beliau menambah, walaupun ada kawasan tarikan yang terkeluar sedikit daripada kawasan DUN Seri Kembangan, ‘tempiasnya’ turut dirasai.

“Saya tidak mahu membezakan antara Serdang atau Seri Kembangan yang terletak bersebelahan. Ia bukannya aduan atau peruntukan yang hanya terhad di satu-satu kawasan. Jadi, kawasan saya juga menerima impak sedikit sebanyak. Maka mengapa tidak saya membantu mempromosikannya?” katanya.

Dalam pada itu, Seri Kembangan yang terletak berhampiran ibu negara tidak terkecuali berdepan masalah sama iaitu masalah kesesakan lalu lintas. Justeru beliau sedang merangka dan mengenal pasti langkah terbaik untuk mengatasinya.

“Memang saya perlu fikirkan apakah langkah terbaik untuk keselesaan penduduk di kawasan Seri Kembangan.

“ Mujur sudah ada langkah penyediaan perkhidmatan transit responsif atas permintaan (DRT).Ia sedikit sebanyak membantu pak cik atau makcik bergerak ke kawasan tertentu,” jelasnya.

Selain kemudahan infrastruktur berkaitan jalan raya, Siew Ki berkata, sebuah pasar baharu dengan nilai RM10 juta akan dibina di DUN tersebut. Namun tegasnya, beberapa perkara perlu dibuat kajian terperinci dan secara menyeluruh agar penggunaannya dapat dimaksimumkan sebaik mungkin.

“Kita sedang kaji bagaimana pasar yang bakal dibina ini boleh dimaksimumkan untuk tujuan lain dan tidak hanya terhad untuk penjualan barangan semata-mata.
“Mungkin boleh dibina dewan, gelanggang badminton dan kemudahan lain berbaloi dengan kos pembinaannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN