Siasatan terhadap wartawan Malaysiakini: Polis sedang lengkapkan siasatan

Siasatan terhadap wartawan Malaysiakini: Polis sedang lengkapkan siasatan

RUSDI Mohd Isa memakaikan pangkat kepada Ketua Polis Daerah Putrajaya yang baharu, ACP Aidi Sham Mohamed (kanan) pada majlis serah tugas Ketua Polis Daerah Putrajaya di IPD Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis sedang dalam proses melengkapkan siasatan terhadap tiga wartawan Malaysiakini mengenai dakwaan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) merancang rombakan besar-besaran melibatkan pertukaran pegawai tertingginya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya sudah memanggil tiga wartawan portal berita itu, malah percakapan mereka sudah diambil.

“Masih lagi dalam proses untuk kita melengkapkan siasatan,” katanya ketika hadir menyaksikan penyerahan terima tugas Ketua Polis Daerah Putrajaya baharu, ACP Aidi Syam Mohamed di ibu pejabat polis daerah (IPD) Putrajaya, hari ini.

Jumaat lalu, tiga wartawan portal berkenaan B Nantha Kumar, Hariz Mohd dan Shahrin Aizat Noorshahrizam dipanggil merakamkan keterangan berhubung laporan mengenai dakwaan bahawa PDRM merancang rombakan besar-besaran melibatkan pertukaran pegawai tertingginya, termasuk membabitkan Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyifatkan spekulasi mengenai rombakan itu sebagai ‘tidak benar’ kerana tiada kenyataan rasmi dikeluarkan Bukit Aman.

Peguam yang mewakili ketiga-tiga wartawan berkenaan Rajsurian Pillai berkata, sebanyak 27 soalan diajukan kepada setiap seorang daripada mereka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 505(b) berkenaan dengan niat hendak menyebabkan, atau mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, atau kepada mana-mana golongan awam supaya seseorang itu mungkin terdorong melakukan kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam.

Sabit kesalahan membawa kepada hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula berkenaan kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar. Sabit kesalahan membawa hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN