Siasatan kes Nuraina Humaira di peringkat akhir - Utusan Malaysia

Siasatan kes Nuraina Humaira di peringkat akhir

AZIZI Mat Aris (tengah) meninjau kerja-kerja pembaikan kuarters ketika melawat Balai Polis Lenggong hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Siasatan kes kematian kanak-kanak Orang Asli yang disyaki dibunuh di Kuala Mu, Sungai Siput kini di peringkat akhir yang melibatkan saksi dan pandangan pakar.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya kini akan meneruskan tindakan untuk ke tujuan pendakwaan di dalam kes melibatkan kematian Nuraina Humaira Rosli, 10, yang ditemui pada Sabtu lalu.

“Kita tahu bahawa ia merupakan satu kes yang menarik perhatian masyarakat umum. Status terkini siasatan kita sekarang ini pada status akhir. Kita akan meneruskan siasatan ini dan akan kemukakan kepada pihak lain untuk tujuan pendakwaan.

“Suspek semua ada, saksi dan juga elemen-elemen pakar, pandangan pakar semua sudah kita perolehi dan akan kita kemukakan untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita semasa membuat lawatan kerja meninjau kerja-kerja pembaikan kuarters di Balai Polis Lenggong di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood; Ketua Jabatan Logistik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Superintendan Hisyamuddin Mohd Baharin dan Jurutera Jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Perak, Suffian Buhari.

Pada 17 Ogos lalu, mangsa ditemui mati di kawasan berpaya di kampungnya setelah dikatakan hilang sejak sehari sebelumnya. Susulan itu, seorang suspek berusia 17 tahun telah direman selama tujuh hari bermula Isnin lalu bagi membantu siasatan kes.

Mengikut laporan sebelum ini, pihak polis difahamkan oleh keluarga mangsa bahawa Nuraina Humaira yang merupakan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu juga mempunyai masalah pendengaran dan lembam.

Dalam pada itu, Azizi meninjau kuarters di Balai Polis Lenggong itu yang dinaiktarafkan bagi keselesaan anggota dan keluarga yang bertugas di situ.

Beliau berkata, pada tahun 2023 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak telah diluluskan peruntukan RM29.49 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi pembaikan dan penyelenggaraan kuarters di seluruh daerah dan formasi di negeri serta pembaikan lif di ibu pejabat polis daerah (IPD).

Tambahnya, PDRM Kontinjen Perak juga telah diluluskan peruntukan RM10.72 juta di 61 lokasi bagi kerja-kerja pembaikan bangunan dan fasiliti serta perolehan aset bagi tahun 2023.

“Setakat ini bagi Polis Kontinjen Perak, melalui pemantauan, kita bertuah kerana projek-projek dilaksanakan mengikut jadual. Tiada projek-projek sakit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN