Shamsul Anuar Nasarah ketuai delegasi Malaysia hadir pengebumian Ismail Haniyeh

Shamsul Anuar Nasarah ketuai delegasi Malaysia hadir pengebumian Ismail Haniyeh

RAKYAT Iran mengibarkan bendera Palestin dan memegang sepanduk mengecam pembunuhan Ismail Haniyeh dalam protes di dataran Palestin di Teheran, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Doha, Qatar bagi menghadiri pengebumian Almarhum Ismail Haniyeh.

Beliau akan diiringi Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan para pegawai daripada Kementerian Dalam Negeri untuk memberikan penghormatan terakhir ke atas kematian Ketua Biro Politik Hamas dan bekas Perdana Menteri Palestin itu.

Menurut Wisma Putra, Shamsul Anuar dan delegasi akan menyertai solat jenazah di Masjid Imam Muhammad ibn Abd al-Wahhab di Doha selepas solat Jumaat.

“Jenazah Almarhum Ismail Haniyeh akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Founding Imam di bandar Lusail.

“Malaysia akan terus bersolidariti dengan ahli keluarga, kepimpinan dan rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan Malaysia menegaskan, penderitaan dan pengorbanan rakyat Palestin yang tidak berbelah bahagi adalah epitome kehidupan Almarhum Ismail Haniyeh.

Almarhum Ismail telah memberikan keluarga, nyawa dan jiwanya dalam perjuangan untuk kebebasan, keamanan dan keadilan ke arah merealisasikan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka.

Malaysia akan mengadakan satu himpunan solidariti bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, ibu negara pada Ahad ini bermula pukul 8 malam.

Himpunan ini diharap akan menjadi satu signal yang jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa pendirian rakyat malaysia dalam isu Palestin tidak berubah dan kita akan terus bersolidariti bersama rakyat Palestin.

24 Oktober tahun lalu Malaysia pernah mengadakan himpunan sama yang dihadiri lebih 15,000 rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa.

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan bekas Perdana Menteri Palestin itu dan menggesa siasatan segera dilakukan agar pihak yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan tersebut dibawa ke muka pengadilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pembunuhan Ismail sebagai peristiwa sangat tragik dan kejam, jelas bertujuan menggagalkan rundingan sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN