Pernah hadir dengan kontroversi di mana dia bertelingkah dengan syarikat pengurusan lamanya tentang soal bayaran, Naufal Azrin, mengakui ia bukan penyebab yang kuat untuk dirinya mudah berputus asa dan berhenti meneruskan kerjaya sebagai seorang penyanyi.
Bertemu empat mata dengan penyanyi lagu hits, Cassablanca duet bersama Nuha Bahrin ini tempoh hari, Naufal mengakui pengalaman perit itu sentiasa akan dijadikan sebagai pengajaran dalam hidup.
Bahkan di saat ini pun, penyanyi ini berkata, dia cukup tenang dalam melewati ‘drama’ ini kerana sekurang-kurangnya selepas kekecohan yang berlaku sebelum ini, pihak terbabit berusaha membayar hutang tersebut beransur-ansur.
“Boleh dikatakan sudah 85 peratus bayaran hutang itu telah dibuat oleh pihak terbabit dan masih ada baki yang sedang saya tunggu. Jadi kita anggap ia hampir selesailah walaupun sedikit demi sedikit.
“Okeylah itu, tak adalah macam saya ini tertunggu-tunggu sangat. Saya pun sekarang belajar bergerak sendiri.
“Doa-doakan supaya saya dapat keluar dengan lagu baharu, single solo saya tahun ini. Genre masih sama, Melayu-Islamik sebab saya cuba kekalkan momentum itu,”katanya.
Menyelami perasaan anak muda berusia 26 tahun ini, Naufal tidak menolak segala yang terjadi, meskipun pahit untuk ditelan, dia mencuba untuk tidak terlalu melenting dalam memberi reaksi.
Katanya, meskipun mengakui diri mempunyai sisi dan sikap panas baran, bagaimanapun, ia tidaklah sehingga dia wajar hilang pertimbangan dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
“Pernah saja sampai berhari-hari tak makan sebab tertekan dengan masalah. Tetapi itu sebelum inilah. Sekarang ini kita pun makin berusia tak adalah nak marah-marah sentiasa.
“Tak dinafikan marah itu ada, tapi saya cubalah relaks dan chill lagi. Kunci yang saya pegang ialah belajar untuk tenang ketika menyelesaikan masalah, Insya-Allah, satu-satu Allah akan permudahkan.
“Saya juga belajar menerima sesuatu ujian atau keadaan itu. Saya percaya, kalau kita menerimanya dan cuba selesaikan perlahan-lahan, hati lebih tenang,”katanya.
Kerjaya tertangguh?
Melayangkan pertanyaan sama ada pengalaman ditipu itu telah merencatkan perancangan atau susunan kerjaya seninya, Naufal bagaimanapun mengakuinya.
Jelas penyanyi ini yang juga bekas peserta program Big Stage musim kelima ini, ada rasa ralat di hati apabila dirinya diuji dengan episod hitam itu.
“Pun begitu, saya terima sahajalah, tak ada nak mengharapkan apa sangat contohnya nama atau popularitikah dalam industri seni ini.
“Saya cuba teruskan apa yang boleh dibuat. Saya tanya banyak orang tentang itu dan ini. Ketika buntu dilanda ujian itu, saya tidaklah cuma duduk di rumah dan goyang kaki.
“Saya cuba selesaikan masalah itu dan Alhamdulillah, ramai sudi bantu. Tak sangka juga ramai yang sayang saya,”katanya.
Dalam pada itu, Naufal berkata, dia juga sedang teruja untuk berkongsi mengenai single baharunya yang akan dilancarkan tidak lama lagi namun masih merahsiakan judul lagu itu daripada peminat.
Kata Naufal, lagu itu akan menjadi bukti bahawa dia tidak pernah mahu meninggalkan dunia seni atau serik dengan kerjaya penyanyi.
“Saya tak boleh ceritakan lanjut mengenai lagu itu, tunggu masa yang sesuai. Apa yang boleh saya katakan, diri ini tak pernah serik untuk teruskan kerjaya nyanyian.
“Mungkin serik ditipu, tetapi tidak dalam perjuangan seni. Alhamdulillah, saya masih lagi fokus dengan kerjaya seni dan setakat ini banyak benda yang telah diselesaikan,”katanya.
Sekitar Jun lalu, Naufal menyuarakan mengenai tindakan bekas pihak pengurusannya yang didakwa enggan melunaskan hutang kepadanya.-UTUSAN