BAGAN SERAI: Polis menahan seorang ahli kumpulan curi kabel telekomunasi yang aktif di daerah ini manakala tiga lagi masih diburu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, lelaki tersebut ditahan tiga hari lalu ketika rondaan cegah jenayah oleh anggota dari Balai Polis Bagan Serai yang mengesan sebuah kereta jenis Proton Exora dinaiki empat individu dalam keadaan mencurigakan di kawasan Batu 8 di sini pada pukul 2.40 pagi.
Menurutnya, menyedari diekori, kenderaan yang dinaiki suspek masuk hingga ke jalan mati.
“Keempat-empat suspek turun dari kenderaan dan cuba melarikan diri ke arah semak, seorang daripada mereka yang berusia 20 tahun, berjaya ditahan
“Pemeriksaan ke atas suspek yang ditahan menemukan satu peket lut sinar mengandungi dadah disyaki jenis syabu.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan pula menemukan beberapa gulung kabel syarikat telekomunikasi Telekom Malaysia (TM) dipercayai dicuri dan beberapa peralatan yang disyaki digunakan bagi aktiviti jenayah tersebut.
“Hasil soal siasat mendapati suspek yang ditahan bersama tiga lagi rakannya yang masih bebas terlibat dalam sembilan kes kecurian kabel TM yang dilaporkan di Daerah Kerian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff.
Azizi berkata, polis sudah mengenal pasti dua daripada suspek yang masih bebas manakala seorang lagi suspek dalam usaha untuk dikenal pasti.
Menurutnya, kumpulan yang dikenali sebagai Geng Mat Razak aktif melakukan jenayah curi kabel TM sejak awal tahun ini.
“Modus operandi kumpulan ini adalah menyewa kenderaan sebelum melakukan kegiatan mencuri kabel dengan sasaran kabel bawah tanah milik TM.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Kerian di talian 05-721 2222 atau menghubungi balai polis berhampiran. – UTUSAN