KUALA LUMPUR: Semua pihak rakyat berbilang kaum di Malaysia berhak untuk berasa selamat dan dihormati bagi membina sebuah negara yang lebih inklusif dan dikagumi di seluruh dunia.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, mesej ini penting dengan mengambil contoh Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum sejak pengisytiharan Rukun Negara pada 1970 dengan mengamalkan nilai toleransi dan keterangkuman sebagai teras dalam pembentukan negara.
“Saya berbangga untuk merenung sejenak rekod Malaysia yang penuh dengan toleransi dan keterangkuman sebagai nilai asas yang ada dalam negara, sejak pengisytiharan Rukun Negara pada 1970 susulan rusuhan kaum yang berlaku pada tahun sebelumnya.
“Pada 2008, UNESCO pula telah menamakan George Town dan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia terbaik Asia dan mengangkat ia sebagai contoh luar biasa dalam perdagangan pelbagai budaya,
“Terdapat sebanyak 137 bahasa yang dituturkan oleh warganegara kami, dan kami meraikan pelbagai festival agama, termasuk Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas, Tahun Baharu Cina, Wesak, Thaipusam, dan banyak lagi perayaan sentiasa dengan semangat dan keceriaan,” titah baginda ketika merasmikan Perasmian Regional Southeast Asia Human Dignity Conference 2024, di AEC Conference Centre, hari ini.
Program tersebut dianjurkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) : “Dignity For Everyone, Everywhere: Best Practices & Success Stories For Building Inclusive Societies”.
Titah Sultan Nazrin lagi, Malaysia memang diiktiraf sebagai ‘kisah kejayaan pelbagai budaya’ sehingga semua rakyatnya mampu hidup dalam kemakmuran.
Baginda bertitah, mesej tersebut sangat penting bagi menolak sentimen kebencian yang wujud dalam kalangan sesetengah pihak.
“Terdapat sesetengah pihak yang tidak mengamalkan nilai tersebut dan ia adalah sejenis pandemik yang ‘merebak’ antara individu, komuniti dan seluruh negara. Maka sebab itu, mesej seperti ini sangat penting dalam menolak sentimen kebencian, dan kita perlu menyebarkan mesej nilai keterangkuman ini kepada semua pihak.
“Jadi dalam menghadapi kebencian, kita mesti menyebarkan ilmu dan dalam ‘ketakutan’, kita mesti menyebarkan kasih sayang,” titah baginda.
Titah baginda, di seluruh dunia hari ini, orang yang berbeza agama dan latar belakang ‘dilucutkan’ hak mereka kerana kepercayaan mereka yang minoriti dengan sesetengah negara, kumpulan agama tertentu dianiaya oleh kerajaan, dipaksa keluar dari rumah sendiri dan bahkan dipenjarakan kerana kepercayaan mereka.
“Populasi minoriti sering mengalami kemerosotan yang mengerikan setiap hari, penghinaan di tempat kerja kerana sesuatu yang mereka pakai atau warna dan kulit mereka. Kita mesti berusaha untuk menghapuskan ‘pencerobohan’ ini daripada makro kepada mikro. Semua orang tanpa mengira kepercayaan dan latar belakang, berhak untuk berasa selamat, dihormati dan termasuk, bukan sahaja di negara asal mereka, tetapi di mana sahaja mereka mengembara di dunia,” titahnya. – UTUSAN