Seleweng diesel: Akaun bank RM36 juta dibeku SPRM 

Seleweng diesel: Akaun bank RM36 juta dibeku SPRM 

SPRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sejumlah RM36 juta dalam akaun bank milik pengusaha stesen minyak dan dua pegawai penguat kuasa termasuk pengarah di sebuah agensi kerajaan dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan siasatan kes penyeludupan diesel bersubsidi.

Tindakan itu dilakukan menerusi Op Liter terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai menyeleweng bahan api bersubsidi milik persatuan nelayan serta membayar rasuah kepada penguat kuasa di Sibu, Sarawak pada Ahad lalu.

Menurut sumber, sebanyak RM36 juta wang yang berada di dalam akaun bank mereka sudah dibekukan setakat pukul 5 petang semalam.

“Ia susulan penahanan dua beradik yang juga pengusaha stesen minyak, pembantu penguat kuasa dan pengarah sebuah agensi penguakuasaan.

“Setakat ini juga tiada penahanan baharu dan tiada rampasan lain dilakukan,” katanya di sini, hari ini.

Sumber berkata, pengusaha stesen minyak yang direman empat hari sebelum ini dibebaskan dengan jaminan hari ini selepas tempoh reman tamat.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkannya dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, pengarah agensi penguatkuasaan di Kuching ditahan kerana dipercayai menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di Sibu.

Suspek lelaki yang berusia lingkungan 40-an ditahan di Pejabat SPRM Sarawak kira-kira pukul 6.20 petang.

Akhbar melaporkan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi yang dipercayai menyeleweng bahan milik persatuan nelayan itu serta membayar rasuah kepada penguat kuasa di Sibu  digempur SPRM.

Serbuan dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) dan Skuad Taktikal Khas SPRM di sebuah depoh penyimpanan minyak di Sungai Bidut, Sarawak itu turut menahan lima individu termasuk pengusaha stesen minyak.

Operasi dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menyita dua tongkang serta beberapa tangki minyak yang mengandungi kira-kira 1.6 juta liter diesel.

Dua beradik yang juga pengusaha stesen minyak kemudian direman kerana dipercayai terbabit sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi dan merasuah pegawai agensi penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Selain itu, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM3.7 juta susulan tangkapan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN