WASHINGTON: Dunia terutama sekutu Israel melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan Asia Barat dengan kemungkinan serangan besar oleh Iran dan proksi ke atas Israel dalam minggu ini.
Sikap itu disampaikan oleh beberapa pemimpin utama dunia yang mahu bukan sahaja gencatan senjata api peperangan Israel dan Hamas disegerakan, malah menggesa Iran agar menghentikan rancangan serangan balas ekoran pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Teheran baru-baru ini.
Terbaharu, kenyataan bersama dikeluarkan United Kingdom (UK), Perancis dan Jerman menegaskan Iran berdepan tanggungjawab besar sekiranya menyerang Israel dan tindakan itu mencetuskan ketegangan di Asia Barat dan menjejaskan peluang gencatan senjata api di Gaza.
Menurut kenyataan bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Canselor Jerman, Olaf Scholz dan Perdana Menteri UK, Keir Starmer, mereka menggesa rundingan senjata api di Gaza disegerakan dan tidak boleh tertangguh sambil memberi amaran kepada Iran dan sekutunya terhadap tindak balas yang meningkatkan konflik Asia Barat.
“Mereka akan memikul tanggungjawab atas tindakan yang menjejaskan peluang ini untuk keamanan dan kestabilan tidak ada negara lain yang akan mendapat keuntungan daripada peningkatan konflik di Timur Tengah,” kata kenyataan itu.
Malah Keir menghubungi Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dengan antaranya menyentuh soal kestabilan di Asia Barat dan melahirkan kebimbangan terhadap konflik serta ketegangan antara pelbagai pihak.
Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) bersiap sedia menghadapi kemungkinan serangan besar oleh Iran atau proksinya di Asia Barat seawal minggu ini.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby semalam berkata, pihaknya telah memperkukuhkan kedudukan tenteranya di Asia Barat dan turut berkongsi kebimbangan Israel tentang kemungkinan serangan yang didalangi Teheran.
“Kami berkongsi kebimbangan yang sama seperti sekutu kami, Israel tentang serangan yang mungkin berlaku minggu ini.
“Kami perlu bersedia untuk apa juga kemungkinan serangan besar,” kata Kirby kepada wartawan seperti laporan Reuters.
AS kelmarin mengarahkan penghantaran sebuah kapal selam dilengkapi berpandu peluru ke Asia Barat selain mendesak sebuah lagi kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln untuk belayar ke wilayah berkenaan dengan lebih pantas.
Arahan itu dikeluarkan Setiausaha Negara, Lloyd Austin selepas berbincang dengan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant susulan kemungkinan serangan berskala besar Iran terhadap Tel Aviv minggu ini.
Terdahulu, sumber risikan Israel percaya bahawa Iran telah memutuskan untuk melancarkan serangan terhadap Israel dalam masa beberapa hari lagi sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Teheran.
Serangan tersebut mungkin dilancarkan sebelum Khamis ini, tarikh yang ditetapkan oleh AS, Mesir, dan Qatar untuk rundingan gencatan senjata baharu Gaza. – AGENSI