'Sektor pertanian guna kaedah digital sumbang lebih banyak KDNK'

‘Sektor pertanian guna kaedah digital sumbang lebih banyak KDNK’

GOBIND Singh Deo meninjau BoomGrow Machine Farms yang menggunakan teknologi pertanian 5G di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kementerian Digital yakin sektor pertanian akan dapat menyumbang lebih banyak kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menerusi kaedah pertanian secara digital.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, pada masa ini, sektor pertanian di Malaysia telah menyumbang sebanyak 7.2 peratus kepada KDNK negara untuk suku kedua tahun ini dan ini adalah peningkatan besar kerana sektor tersebut hanya menyumbang 1.7 peratus pada suku sebelumnya.

“Dengan mendigitalkan kaedah pertanian, saya yakin sektor pertanian akan dapat menyumbang lebih banyak kepada KDNK negara selepas ini.

“Laporan daripada firma Ernst & Young (EY) pada November 2021 yang bertajuk ‘Menganggar Kesan Ekonomi Rangkaian 5G Tunggal di Malaysia’ telah meramalkan peningkatan sebanyak 2.6 peratus kepada sumbangan KDNK sektor ini pada tahun 2030 dan ini bersamaan dengan peningkatan sebanyak RM3.5 bilion,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, Gobind merasmikan majlis pelancaran kerjasama antara BoomGrow Productions Sdn. Bhd. dan CelcomDigi Bhd. dalam Pertanian Maju dan Mampan Menggunakan teknologi 5G, AI dan Pembelajaran Mesin.

BoomGrow dan CelcomDigi sebelum itu telah mengumumkan kerjasama strategik untuk mengubah industri pertanian negara melalui integrasi kesalinghubungan 5G, AI dan XR dengan teknologi pertanian tepat.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, kerajaan kini sedang dalam proses untuk melancarkan rangkaian 5G kedua dan langkah ini pasti akan meningkatkan sumbangan semua sektor, termasuk pertanian kepada negara.

Tambahnya, dalam hal ini, Kementerian Digital juga memainkan peranannya dalam menggalakkan pertanian moden di negara ini.

“Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), sebuah agensi di bawah Kementerian saya, mempunyai inisiatif Malaysia Digital AgTech dan inisiatif ini dijalankan dengan kerjasama pihak berkepentingan serta rakan ekosistem untuk memperkasakan sektor pertanian negara secara digital,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama BoomGrow dan CelcomDigi pula, Gobind berkata, kerjasama itu menandakan langkah penting ke hadapan dalam mengadaptasi teknologi canggih untuk meningkatkan amalan pertanian mampan dan pengeluaran makanan di Malaysia.

“Di bawah kerjasama ini, CelcomDigi berjaya memanfaatkan kesalinghubungan 5G miliknya, yang disokong oleh ZTE, untuk meningkatkan keupayaan dan kecekapan BoomGrow Machine Farms,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya