PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Alvn atau Alvin Chong menegaskan tidak akan menjalin hubungan cinta dengan selebriti atau mereka yang bekerja dalam industri hiburan.
Jelasnya, jejaka 32 tahun itu tidak mahu hubungan percintaanya menjadi sorotan umum dan menenggelamkan kerjayanya yang jauh lebih penting.
“Saya tidak mahu bercinta atau mempunyai hubungan istimewa dengan orang satu industri. Terlalu banyak perhatian yang akan diberikan.
“Selain itu ramai yang akan menghakimi hubungan kami. Jika terjadi apa-apa, saya kena jawab dan jelaskan.
“Perhubungan dan percintaan adalah perkara privasi. Saya juga tidak mahu cerita-cerita itu akan menghalang kerjaya saya,” katanya.
Alvn berkata demikian ketika mengulas mengenai hubungan akrabnya dengan pelakon, Siti Khadijah yang dilihat sering memuat naik video bersama di aplikasi TikTok.
Bercerita lanjut mengenai kemesraannya bersama Siti Khadijah, penyanyi Rescue itu mengakui gadis tersebut adalah seorang sahabat yang banyak menyokong kerjayanya.
Bukan itu sahaja, Siti juga dilihat hadir di majlis pelancaran album terbaharu Alvn, Between The Lines sambil membawa hadiah berupa patung berwarna coklat pada Rabu.
“Siti seorang yang ikhlas. Saya juga sangat terkejut dan terharu dia hadir ke majlis hari ini.
“Kami berdua ada cara fikir yang sama iaitu rajin buat TikTok. Ada juga momen di mana saya tidak mahu bercakap dengan sesiapa di set. Siti faham situasi itu sebab dia pun sama.
“Kami berdua hanya kawan. Cuma keakraban kami di depan dan belakang kamera sama. Di set pun kami selalu gelak habis,” katanya.
Terkini, Alvn dan Siti sedang menjalani penggambaran sebuah drama bersiri bertajuk Rahsiamu Selamat Denganmu.
Sebelum ini, Siti dan Alvn dikatakan bercinta apabila dilihat kerap memuat naik video mesra bersama-sama di akaun TikTok. -UTUSAN