Saya tenang, berdiam lebih baik – Abby Abadi

Saya tenang, berdiam lebih baik – Abby Abadi

ABBY ABADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi, 47, memilih untuk tidak memanjangkan isu berhubung situasi keluarga terutama membabitkan anak perempuannya, Marissa Dania Hakim.

Menurut Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Rahman, dia selesa membiarkan kemelut kontroversi yang berlaku berlalu pergi dan menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.

“Oh tidak, saya tidak akan cakap lagi atau ulas mengenai isu yang berlaku. Biarlah ia berlalu pergi.

“Bagi saya, berdiam itu lebih baik sebab saya pun tak mahu memanjangkan perkara ini sehingga menimbulkan lebih banyak spekulasi lain,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, Abby terpalit dengan kontroversi apabila Marissa dikatakan tidak memaklumkannya mengenai kematian bayi dalam kandungan sehingga menimbulkan tanda tanya ramai berhubung hubungannya dengan anak perempuannya itu.

Berikutan itu, ramai membuat andaian hubungannya dengan Marissa masih bermasalah meskipun sebelum ini kelihatan bagai sudah jernih selepas anaknya itu memilih untuk berkahwin dengan Mohd. Aslam secara senyap di Thailand pada Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, Abby menjelaskan, dia tidak marah dengan situasi berlaku sebaliknya mengakui kini dalam keadaan tenang selain sibuk menguruskan kerja-kerjanya.

“Alhamdulillah, saya okey, tak marah. Saya tenang, setenang air di kolam. Tetapi untuk jawab itu lebih baik tidak.

“Saya pun sibuk dengan kerja-kerja yang ada jadi tak mahu kongsikan apa-apa berhubung isu itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN